KUALA LUMPUR 11 Sept – Penilaian semasa pasaran terhadap OCK Group Berhad dilihat langsung tidak pernah mengambil kira nilai sebenar perniagaan menara telekomunikasi (towerco) syarikat tersebut.
Menurut RHB Research, segmen berkenaan selama ini sebenarnya berjaya menjana majoriti margin kumpulan itu dengan menyumbang 74% nilai keuntungan kasar walaupun sering diabaikan pasaran.
Firma penyelidikan tersebut turut menyifatkan towerco sebagai aset-aset strategik dan menyimpan nilai 'tersembunyi' yang bakal menjadi pemangkin kepada harga sahamnya dalam tempoh terdekat.
“Perniagaan ini seolah-olah diberi nilai sifar oleh pasaran, padahal ia menjana hasil berulang dan margin tinggi. Ini peluang keemasan bagi pelabur sebelum nilai sebenar dizahirkan,” katanya.
RHB Research dalam nota kajiannya itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas OCK dengan harga sasaran sesaham disemak kepada 72 sen daripada 60 sen sebelumnya, mencerminkan potensi kenaikan 66%.
Dengan lebih 5,500 tapak towerco di Malaysia dan Indochina, OCK Tower Sdn Bhd (OCKT) mencatatkan pendapatan sebanyak RM279.3 juta bagi tempoh kewangan selama 18 bulan yang berakhir 30 Jun 2025.
Bagaimanapun, berdasarkan modal pasaran semasa, pelabur seperti mendapat perniagaan towerco ini secara percuma dan ia menjangka nilai OCKT berpotensi mencecah RM760 juta hingga RM905 juta.
"Pada masa sama, kami tidak menolak kemungkinan OCK melakukan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) atau langkah penzahiran nilai strategik dalam tempoh jangka sederhana," kata RHB Research.
Artikel berkaitan: OCK Group rancang penyenaraian EI Power di Pasaran ACE Bursa Malaysia
Sementara itu jelasnya, penyenaraian bakal anak syarikat EI Power Technologies (EIPT) menjelang awal 2026 turut dilihat bakal membuka banyak potensi lonjakan nilai tambahan kepada kumpulan.
EIPT, yang dimiliki 52% oleh OCK, merupakan penyedia rumusan tenaga sandaran khusus untuk pusat data (DC) dan telah melaksanakan projek bernilai lebih RM70 juta dalam tempoh 18 bulan lalu.
Buku tempahan semasa mencecah RM70 juta dengan tender dalam proses sebanyak RM100 juta setakat Ogos 2025 manakala hasil dan untung bersih masing-masing ialah 13% dan 76% dari FY22 hingga FY24.
"Penyenaraian EIPT dijangka melibatkan terbitan 129.5 juta saham dan tawaran jualan 70 juta saham, dengan anggaran nilai ekuiti antara RM250 juta hingga RM334 juta," kata firma penyelidikan itu.
RHB Research menambah, berdasarkan pegangan efektif sebanyak 37% selepas urusan penyenaraian dilaksanakan, EIPT dijangka menyumbang nilai kira-kira 9 sen hingga 12 sen sesaham kepada OCK.
Kumpulan itu juga semakin menonjol dalam segmen DC yang menjadi pemacu pertumbuhan masa depan dengan pendapatan berkaitannya melonjak 77% secara sukuan kepada paras tertinggi dalam 2Q25.
Perkembangan positif tersebut kata firma berkenaan, merangkumi 14% daripada jumlah hasil kumpulan berbanding hanya 8% pada 1Q24, menandakan pertumbuhan semakin pesat dan potensi jangka panjang.
"Kami menjangkakan gabungan faktor penzahiran nilai EIPT, lonjakan permintaan DC dan penstrukturan perniagaan towerco bakal menggerakkan semula minat pelabur terhadap OCK," kata RHB Research.
Tambahnya, dengan saham yang masih diperdagangkan pada diskaun besar berbanding nilai sebenar, OCK kini berada di landasan untuk meraih perhatian semula dari pasaran. - DagangNews.com








