KUALA LUMPUR 8 Sept - Penyedia rumusan rangkaian telekomunikasi terbesar di Malaysia dan syarikat menara serantau, OCK Group Berhad merancang untuk menyenaraikan anak syarikatnya, EI Power Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Kumpulan itu berkata, sebelum penyenaraian itu, EI Power akan menjalani penstrukturan semula bagi memperoleh keseluruhan kepentingan ekuiti dalam EI Power Technologies Sdn Bhd dengan balasan pembelian akan diselesaikan sepenuhnya melalui terbitan 570.5 juta saham baharu EI Power.
EI Power Technologies, yang kini merupakan anak syarikat milik 52% OCK, merupakan penyedia rumusan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang mengkhusus dalam rumusan kuasa misi kritikal, rumusan kuasa konvensional dan rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa untuk cadangan penyenaraian itu.
EI Power mencadangkan untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang merangkumi terbitan awam sebanyak 129.5 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 70 juta saham.
Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan EI Power termasuk penubuhan ibu pejabat baharu berserta gudang, perbelanjaan modal bagi pemasangan sistem kecekapan tenaga bangunan untuk pelanggan sasarannya, penubuhan pejabat cawangan di Thailand dan Johor serta keperluan modal kerja untuk projek-projek masa hadapan.
Pengarah Urusan Kumpulan OCK, Datuk Wira Sam Ooi Chin Khoon berkata, langkah itu mewakili satu pencapaian penting bagi kumpulan dan membolehkan pihaknya membuka nilai pelaburan sambil memanfaatkan permintaan industri yang pesat untuk rumusan tenaga serta infrastruktur pusat data.
"Ia juga akan membolehkan kami menilai perniagaan anak syarikat dengan lebih baik, mendapatkan modal yang diperlukan untuk mengembangkan skala dan kehadiran sedia ada, meneroka peluang baharu di luar Malaysia termasuk ke negara jiran seperti Thailand, selain meningkatkan keterlihatan strategi pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
M&A Securities Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat dan penaja untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com








