KUALA LUMPUR 26 Feb – MSM Malaysia Holdings Berhad, pengeluar gula mencatatkan kerugian bersih RM366.63 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) berbanding untung bersih RM71.7 juta pada tempoh sama sebelumnya.
Hasil kumpulan bagi suku keempat menurun 17 peratus kepada RM783.1 juta berbanding RM943.6 juta setahun lalu, disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan purata harga jualan yang menurun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemilik jenama Gula Prai itu berkata prestasi yang lemah bagi suku keempat FY2025 disebabkan MSM membuat pelarasan nilai aset bukan kewangan sebanyak RM359.96 juta.
Langkah ini adalah pelarasan perakauanan bukan tunai bagi menyesuaikan nilai aset dengan keadaan operasi semasa, termasuk kapasiti kilang yang rendah dan permintaan jualan yang menurun sepanjang tahun.
Kos pengeluaran pula menunjukkan penurunan sebanyak 4 peratus, didorong oleh kadar pertukaran asing yang lebih baik dan kos pengangkutan yang lebih rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Dr Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar menjelaskan bahawa pelarasan nilai aset itu bersifat bukan tunai dan tidak memberi kesan langsung kepada operasi atau aliran tunai syarikat.
“Fokus syarikat kekal kepada peningkatan jualan, prestasi kilang yang lebih baik dan kawalan kos bagi membina profil keuntungan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, MSM merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM397.25 juta, berbanding keuntungan selepas cukai RM31.25 juta pada 2024.
Jumlah hasil tahunan menurun 12.7 peratus kepada RM3.09 bilion daripada RM3.54 bilion, mencerminkan cabaran dalam harga jualan dan permintaan pasaran.
MSM menjangkakan persekitaran operasi bagi 2026 akan kekal mencabar, terutamanya dengan persaingan meningkat daripada gula import dan lebihan pasaran global yang memberi tekanan kepada bahagian pasaran domestik.
Sebagai langkah pemulihan, syarikat sedang menstruktur semula operasi bagi meningkatkan kecekapan serta menjalin kerjasama dengan kerajaan untuk menetapkan kerangka harga mampan yang dapat melindungi keselamatan makanan negara.
Sejak 1964, MSM telah menempatkan dirinya sebagai salah satu perintis penapisan gula di Malaysia dan kini berada dalam kelompok 10 pengeluar gula teratas di dunia, dengan eksport ke lebih 20 negara.
Kapasiti pengeluaran tahunan MSM kini mencapai 2.05 juta tan, dengan 60 peratus bahagian pasaran domestik, sambil menawarkan produk gula putih dan gula perang kepada pengguna domestik dan antarabangsa. - DagangNews.com








