MPOB, MyIPO jalin kerjasama kukuhkan inovasi dan R&D minyak sawit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPOB, MyIPO jalin kerjasama kukuhkan inovasi dan R&D minyak sawit

KUALA LUMPUR 15 Okt - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama strategik, melindungi inovasi dan penyelidikan sawit.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kerjasama itu melambangkan komitmen kedua-dua agensi dalam mengukuhkan perlindungan harta intelek hasil penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan oleh MPOB demi kepentingan industri sawit negara.

 

"Usaha ini juga bakal meningkatkan daya saing, produktiviti dan kemampanan sektor sawit negara.

 

"Dengan adanya sistem sokongan bagi melindungi hak harta intelek oleh MyIPO, kepentingan agensi penyelidikan seperti MPOB dan syarikat yang berminat mengkomersialkan inovasi MPOB dapat dipelihara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak 1986, MPOB mengemukakan 394 paten di Malaysia, dengan33 peratus daripadanya berjaya dikomersialkan.

 

Kerjasama itu membolehkan penyertaan MPOB dalam Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC).

 

Melalui kerjasama itu, MPOB menjadi sebahagian daripada rangkaian TISC, sebuah platform kerjasama strategik yang diterajui oleh MyIPO bersama pelbagai institusi penyelidikan bagi memperkukuh perlindungan serta pengurusan harta intelek dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi. - BERNAMA