Momentum jualan Farm Fresh pada 1HFY26 kukuh, penganalisis positif prospek pasaran ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Momentum jualan Farm Fresh pada 1HFY26 kukuh, penganalisis positif prospek pasaran ASEAN

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 NovFarm Fresh Berhad mencatat keputusan 1HFY26 yang kukuh dan keuntungan tumbuh melebihi 30% tahun ke tahun (YoY), disokong permintaan berdaya tahan, kata penganalisis.


Dua firma penyelidikan utama mengekalkan pandangan positif terhadap syarikat berkenaan, namun dengan penekanan berbeza terhadap kekuatan asas dan prospek pertumbuhan lebih baik di pasaran ASEAN.


Maybank Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.95 daripada RM2.26, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2026 diunjur meningkat 33 kali.


"Keputusan 2QFY26 berada dalam jangkaan kami, dengan untung bersih teras RM35 juta, naik 33% YoY, dan 6% suku ke suku (QoQ) yang membawa prestasi 1HFY26 kepada RM68 juta," katanya dalam satu nota.


Pertumbuhan hasil kumpulan itu juga naik 13% QoQ, didorong jualan di Malaysia yang lebih tinggi melalui program susu sekolah, pasar mini, banyak produk baharu, serta permulaan eksport ke Kemboja. 


Usaha Farm Fresh mengembangkan operasi di Filipina jelas Maybank IB, turut menunjukkan peningkatan jualan kepada RM7.2 juta dalam suku tersebut, walaupun segmen itu masih mencatat kerugian kasar.


Justeru, ia mengekalkan unjuran pertumbuhan keuntungan FY26 naik 28% YoY, disokong oleh permintaan domestik stabil, pengembangan segmen barangan pengguna berbungkus (CPG) dan pasaran eksport. 


"Dengan harga produk serbuk susu penuh krim (WMP) yang kekal rendah sekitar AS$3,500 (RM14,460) setiap tan, kami menjangkakan margin stabil tanpa kejutan kos input," jelas firma penyelidikan itu.
 

Artikel berkaitan: Farm Fresh catat hasil RM294.9 juta pada 2QFY26, keuntungan melonjak kepada RM37.8 juta

 

Dalam pada itu, RHB Research pula menaik taraf Farm Fresh daripada 'neutral' kepada 'beli', serta menaikkan TP kepada RM3.03 berbanding RM2.08, mencerminkan potensi besar daripada unjuran awal.


Untung bersih teras mengatasi jangkaannya iaitu 55% daripada anggaran, didorong margin keuntungan kasar (GPM) yang meningkat kepada 33.4% dipacu campuran produk lebih baik dan kos input stabil.


Firma itu juga menaikkan unjuran keuntungan FY26, FY27 dan FY28F masing-masing 17%, 14%, dan 11%, mengambil kira potensi pertumbuhan eksport ke Kemboja serta pelancaran banyak produk baharu.


"Kami melihat momentum pertumbuhan terus dipacu oleh rangkaian ais krim dan serbuk, selain kapasiti baharu kilang di Bandar Enstek yang dijangka beroperasi pada pertengahan 2026," kata RHB Research.


Selain itu, ia turut menekankan prospek Farm Fresh sendiri di Filipina, peningkatan eksport Kemboja serta potensi kemasukan ke pasaran luas di Indonesia sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang.


Bagaimanapun ia mengingatkan risiko utama termasuk kelewatan projek perluasan dan kenaikan mendadak kos input di sebalik usaha syarikat menjadi pemain tenusu ASEAN yang dominan. - DagangNews.com