Farm Fresh catat hasil RM294.9 juta pada Q2FY2026, keuntungan melonjak kepada RM37.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Fresh catat hasil RM294.9 juta pada Q2FY2026, keuntungan melonjak kepada RM37.8 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 26 NovFarm Fresh Berhad mencatatkan rekod hasil tertinggi suku tahunan apabila merekodkan pendapatan sebanyak RM294.9 juta bagi Q2FY2026, meningkat 18.4% daripada RM249.2 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar tenusu terkemuka negara itu berkata, keuntungan kasar turut melonjak 18.1% kepada RM99.0 juta, didorong sumbangan jualan lebih tinggi daripada produk bermargin tinggi, kos bahan mentah tenusu yang lebih rendah serta pemulihan margin operasi di Australia.

 

Prestasi kukuh itu mendorong keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 42.4% kepada RM41.7 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) masing-masing melonjak 40.1% dan 40.0% kepada RM37.8 juta dan RM36.7 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan, Farm Fresh merekodkan hasil sebanyak RM555.5 juta, meningkat 13.2% daripada RM490.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan kasar meningkat 18.3% kepada RM185.5 juta, PBT naik 34.9% kepada RM77.8 juta, PAT meningkat 32.8% kepada RM71.0 juta, manakala PATAMI mengukuh 33.1% kepada RM69.5 juta.

 

Farm Fresh berkata, peningkatan pendapatan itu disokong oleh jualan susu sekolah dan mini market yang lebih tinggi, selain sumbangan positif daripada pelancaran rangkaian produk baharu.

 

Bagi operasi Australia, margin kasar pulih kepada 29.8%, meningkat daripada 15.6% pada tempoh sama tahun lalu dan 2.3% pada suku sebelumnya, hasil peningkatan jumlah pengeluaran yang menurunkan kos pengeluaran seunit.

 

Di peringkat serantau, sumbangan pendapatan turut dipacu oleh prestasi lebih kukuh di Filipina serta pengiktirafan hasil sulung di Kemboja.

 

Pengurusan Farm Fresh berkata, kapasiti pengeluaran kumpulan juga terus diperkukuh susulan pengkomersialan ladang Muadzam Shah yang diperluaskan, yang akan menggandakan saiz ternakan kepada lebih 6,000 lembu tenusu dalam jangka masa panjang.

 

Kemasukan kumpulan ke Filipina sejak September 2024 telah menyumbang kepada peningkatan jualan produk UHT, produk sejuk dan susu tepung, selain berjaya memperoleh akaun utama sektor HORECA di Manila. 

 

Sementara itu, kemasukan ke pasaran Kemboja pada Ogos 2025 telah menyumbang kepada pengiktirafan hasil sulung yang melebihi jangkaan awal.

 

Farm Fresh berkata pihaknya kekal optimistik terhadap prospek FY2026 dengan teras pertumbuhan yang kukuh, di samping meneruskan komitmen terhadap prinsip ESG menerusi inisiatif seperti loji biogas dan peluasan program mampan Milk on Tap. - DagangNews.com