KUALA LUMPUR 27 Jan - MMAG Holdings Bhd membeli pesawat Boeing B737-400SF kedua daripada JPA No 161 Co Ltd (JPA) yang berpangkalan di Jepun dengan harga tunai AS$6.55 juta (RM29.12 juta).
Anak syarikat MMAG, MJets Air Sdn Bhd, menandatangani perjanjian jualan ansuran dengan JPA bagi membeli dan mengambil penghantaran pesawat itu, yang kini dipajak dan dikendalikan oleh MJets Air untuk perniagaan pengangkutannya.
Ia menandakan pemerolehan pesawat Boeing B737-400SF kedua oleh MJets Air daripada JPA, anak syarikat milik penuh JP Lease Products & Services Co Ltd (JLPS), antara pengatur pajakan bebas cukai terbesar di Jepun.
Pada Disember 2024, MJets Air memperoleh pesawat pertama daripada JPA dengan harga RM20.76 juta, juga dibayar secara tunai.
MMAG berkata, pembelian pesawat terbaharu itu adalah langkah strategik yang akan memberikan faedah jangka panjang kepada kumpulan itu dan sejajar dengan strateginya untuk mengoptimumkan keupayaan pengangkutan udaranya dan menyelaraskan operasi merentasi rangkaian rantaian bekalannya.
“Pemilikan pesawat itu akan mengurangkan kebergantungan kepada pemberi pajak pihak ketiga dan menghapuskan keperluan untuk pembayaran pendahuluan Dana Rizab Penyelenggaraan (MRF), di samping menawarkan potensi untuk memanfaatkan jualan semula atau nilai sekerapnya, menghasilkan penjimatan kos jangka panjang yang ketara dan pengurusan aset yang lebih baik,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
MMAG berkata, pertimbangan pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan hasil yang diterima daripada pelaksanaan sekuriti boleh tukar oleh kumpulan itu.
Pada akhir September 2024, tunai dan baki bank MMAG berjumlah RM66.41 juta, manakala pinjamannya berjumlah RM349.6 juta.
Jumlah bayaran akan dibuat dalam tiga peringkat, dengan bayaran permulaan AS$1.55 juta (RM6.78 juta) selepas perjanjian ditandatangani, bayaran ansuran berjumlah AS$3.75 juta (RM16.41 juta) dalam tempoh 25 bulan dari tarikh penghantaran, dan bayaran akhir AS$1.25 juta (RM5.47 juta) pada tamat tarikh kontrak.
MMAG berkata, struktur ansuran itu menyediakan fleksibiliti kewangan dan membolehkan kumpulan menguruskan aliran tunainya dengan berkesan sambil menjamin pemilikan pesawat.
Melainkan keadaan yang tidak dijangka, perjanjian itu dijangka selesai pada suku pertama 2027.
Pada November 2024, MMAG diberikan pelepasan oleh Bursa Securities daripada diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai terjejas di bawah Nota Panduan 3 (GN3).
Syarikat itu jatuh ke dalam status GN3 selepas ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah 50% daripada modal saham terbitan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).- DagangNews.com








