MISC peroleh lanjutan kontrak FPSO Ruby II di Vietnam hingga 31 Disember 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC peroleh lanjutan kontrak FPSO Ruby II di Vietnam hingga 31 Disember 2027

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb – Kumpulan MISC melalui syarikat usaha samanya, Vietnam Offshore Floating Terminal (Ruby) Ltd (VOFT) telah memperolehi lanjutan kontrak pajakan, operasi dan penyelenggaraan bagi kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSPO) Ruby II.

 

Kontrak tersebut diperoleh daripada Vietnam National Industry – Energy Group (Petrovietnam) sehingga 31 Disember 2027. 

 

FPSO Ruby II telah beroperasi di Blok 01 & 02 luar pesisir Vietnam sejak Jun 2010, sekali gus mengukuhkan kehadiran MISC di sektor tenaga negara itu.

 

FPSO Ruby II merupakan aset luar pesisir pertama MISC di Vietnam dan telah mencatat prestasi operasi cemerlang dengan 5,761 hari tanpa sebarang Lost Time Injury (LTI). 

 

Aset ini mengekalkan kadar kebolehsediaan 99.88% serta melengkapkan 236 operasi pemunggahan minyak secara selamat, menyumbang kepada eksport melebihi 68.5 juta tong minyak.

 

MISC memegang kepentingan ekuiti 40% manakala PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) memegang 60% dalam VOFT. 

 

Kontrak ini turut merangkumi program lanjutan hayat operasi termasuk penggantian dan baik pulih peralatan untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan kecemerlangan operasi.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata kontrak ini menzahirkan pengiktirafan terhadap prestasi keselamatan, kebolehpercayaan operasi serta keupayaan VOFT menjana nilai daripada aset luar pesisir matang. 

 

“FPSO Ruby II menjadi tonggak utama dalam membina kerjasama jangka panjang dengan Petrovietnam dan PTSC, sejajar dengan strategi pengurusan aset berhemat MISC untuk mengekalkan aliran tunai stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

 

FPSO Ruby II direka sebagai kapal bersaiz Aframax dengan kapasiti pengeluaran 39,000 tong minyak sehari. 

 

Kontrak ini turut merangkumi kerja-kerja lanjutan hayat operasi termasuk penggantian dan baik pulih peralatan.

 

MISC Berhad, di bawah Kumpulan PETRONAS, mempunyai pengalaman lebih 55 tahun dalam industri maritim global, menawarkan pelbagai penyelesaian merangkumi rantaian nilai tenaga berkaitan maritim. - DagangNews.com