KUALA LUMPUR 9 Julai – Persatuan Emas Malaysia (Malaysia Gold Association- MGA) mencipta sejarah apabila melantik sebuah Lembaga Penasihat Syariah (LPS) yang pertama di dunia bagi memperkukuh tadbir urus Syariah dalam keseluruhan ekosistem logam berharga itu.
Langkah strategik itu dijangka dapat meningkatkan keyakinan terhadap pematuhan Syariah dalam perdagangan emas dan logam berharga, sekali gus memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab emas patuh Syariah bertaraf global.
Presiden MGA, Datuk Wira Louis Ng berkata, penubuhan LPS itu adalah permulaan penting untuk Malaysia memperkukuh kepimpinan dalam perdagangan logam berharga patuh Syariah.
"LPS akan berfungsi sebagai badan bebas yang memberikan kepimpinan Syariah kepada MGA, ahli-ahlinya serta industri secara menyeluruh.
"Ia bertanggungjawab menggubal dan mengesahkan amalan terbaik industri, rujukan standard Syariah, serta memberikan panduan terhadap transaksi kewangan dan fizikal emas yang mematuhi Syariah
"Ia bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu terhadap pematuhan Syariah, malah mengukuhkan kepercayaan pelabur dan pengguna global – khususnya dalam kalangan komuniti Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi LPS MGA ialah profesor di Universiti INCEIF dan tokoh Syariah terkemuka dalam kewangan Islam iaitu Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin.
Selain itu, dua Ahli Lembaga yang dilantik ialah, pakar penasihat yang berpengalaman luas dalam pembangunan dasar kawal selia Syariah, Khairun Najmi Saripudin serta pengamal dalam perbankan Islam yang juga pakar pengurusan risiko dan penasihatan Syariah iaitu Zikri Shairy.
Melalui inisiatif itu, MGA beriltizam memperkenalkan garis panduan jelas bagi pelaburan dan perdagangan emas patuh Syariah termasuk instrumen bersandarkan emas, struktur sukuk dan program simpanan emas Islamik di samping memacu inovasi produk kewangan logam berharga.
Tambahnya, LPS MGA juga akan bekerjasama dengan pengawal selia tempatan dan antarabangsa bagi menyelaraskan prinsip Syariah dengan piawaian undang-undang, selaras dengan perkembangan pesat pasaran digital, tokenisasi dan tawaran rentas sempadan.
"Permintaan tinggi terhadap pelaburan patuh Syariah terus meningkat di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika membolehkan pemain industri Malaysia menampilkan penyelesaian yang beretika, telus dan inovatif untuk pelabur berasaskan nilai," katanya.
Dengan pelantikan ini, MGA mengukuhkan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam tadbir urus emas beretika dan patuh Syariah yang akan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang selari dengan prinsip Islam.
Setakat ini, MGA kekal sebagai satu-satunya organisasi dunia yang menubuhkan lembaga Syariah bebas khusus bagi memantau dan memberi nasihat pematuhan Syariah dalam ekosistem logam berharga global.
MGA turut menyeru kerjasama strategik bersama semua pihak berkepentingan termasuk institusi kewangan, pemain industri, penggubal dasar dan cendekiawan Syariah dalam membina ekosistem emas yang berdaya tahan, telus dan mampan.- DagangNews.com








