KUALA LUMPUR 29 Jan – MEASAT Global Berhad (MEASAT) menerusi kerjasama strategik bersama Mudah Healthtech Sdn Bhd terus memperluas perkhidmatan telekesihatan Sihat Xpress, dengan sasaran untuk memberi manfaat kepada sehingga 1 juta rakyat Malaysia khususnya di kawasan pedalaman dan sukar diakses.
Menurut MEASAT dalam satu kenyataan hari ini, pengembangan itu disokong oleh perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW serta rangkaian pengedaran MEASAT yang meluas, sekali gus membolehkan penyampaian perkhidmatan kesihatan digital ke komuniti terpencil.
Terbaharu, kiosk telekesihatan Sihat Xpress dilancarkan di Kampung Manikulau berhampiran Ranau dan Kampung Bonor berhampiran Sook, Sabah, menerusi kerjasama dengan Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS).
Inisiatif ini memberi akses perkhidmatan kesihatan kepada hampir 1,000 penduduk di kedua-dua kampung, kawasan sekitarnya serta sebuah sekolah tempatan.
MEASAT berkata, kiosk berkenaan berfungsi sebagai talian hayat penting bagi komuniti yang terpisah sehingga dua jam perjalanan dari Klinik Kesihatan Timbua di Ranau dan Klinik Kesihatan Karamatoi di Sook, dengan menyediakan alat penjagaan kendiri berpandukan teknologi serta rundingan doktor secara atas talian mengikut keperluan.
“Pelancaran itu turut disempurnakan dengan lawatan Bendahari Negeri Sabah, Datuk Mary Angela Sipaun, yang bertemu ketua-ketua kampung serta menyaksikan demonstrasi teknologi telekesihatan di lapangan,” menurut kenyataan itu.
Mary Angela berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat swasta yang progresif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.
“Cabaran geografi Sabah sering mengehadkan akses kepada perkhidmatan perubatan di kawasan pedalaman. Kami komited untuk meneroka penggunaan teknologi inovatif bagi merapatkan jurang infrastruktur ini demi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.
MEASAT memaklumkan, susulan kejayaan pelaksanaan awal, perkhidmatan Sihat Xpress kini diperluaskan ke pelbagai lokasi berimpak tinggi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, dengan tumpuan kepada kawasan yang berdepan kekangan akses kesihatan akibat faktor geografi.
Selain komuniti luar bandar, ekosistem Sihat Xpress turut dikembangkan ke tempat kerja dan klinik bandar, membolehkan lebih ramai doktor menyertai rangkaian konsultasi jarak jauh. Sehingga kini, lebih 1,000 klinik telah didigitalkan sejak 2024 menerusi Geran Digital PMKS MADANI (GDPM).
Kiosk Sihat Xpress membolehkan saringan kendiri dilakukan bagi pengesanan awal penyakit tidak berjangkit, termasuk pemeriksaan paras oksigen, tekanan darah, glukosa darah, suhu badan dan indeks jisim badan (BMI), selain rundingan perubatan bukan kecemasan secara dalam talian.
MEASAT berkata, tahap penerimaan awal amat menggalakkan, dengan sesetengah kampung merekodkan kadar penggunaan penduduk melebihi 60%.
Pada masa depan, perkhidmatan ini dijangka diperkukuh dengan keupayaan diagnostik lanjutan termasuk penilaian kesihatan berbantu kecerdasan buatan (AI), saringan kesihatan mental, pengesanan awal kanser serta penghantaran ubat menggunakan dron bagi komuniti paling terpencil.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, kerjasama dengan Mudah Healthtech mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian SpaceTech yang menyeluruh, melangkaui sekadar kesalinghubungan.
“Syarikat mahu perkhidmatan kesihatan mendekati pesakit, bukan sebaliknya. Dengan menyokong penjagaan kesihatan digital berasaskan jalur lebar satelit, kami memanfaatkan teknologi angkasa untuk benar-benar menghapuskan halangan geografi,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Mudah Healthtech, Datuk Dr Kantha Rasalingam berkata, integrasi kiosk pintar syarikat itu dengan kesalinghubungan MEASAT serta rangkaian doktor yang kukuh berupaya mengubah landskap penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Sinergi ini membolehkan syarikat merapatkan jurang ketidaksamaan kesihatan dan memastikan penjagaan berkualiti serta tepat sentiasa dapat diakses oleh setiap komuniti, tanpa mengira lokasi,” katanya. - DagangNews.com








