KUALA LUMPUR 6 Mei – MBSB Research menurunkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2028 (FY28) sebanyak 18% bagi Hartalega Holdings Berhad susulan kesan daripada ketegangan geopolitik global.
Menurutnya, penurunan itu mencerminkan kebimbangan serius terhadap ketidaktentuan berpanjangan harga bahan mentah, yang memberi impak langsung kepada kos pengeluaran industri sarung tangan sendiri.
Walaupun prospek jangka sederhana dilihat lebih mencabar, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) yang disemak naik kepada RM1.24 daripada RM1.19 sebelum ini.
"Ini setelah diambil kira prestasi Hartalega bagi FY26 mengatasi jangkaan, dengan untung bersih meningkat 18% kepada RM91 juta, meskipun hasil susut 17% kepada RM2.1 bilion," kata MBSB Research.
Penurunan pendapatan ini ujarnya, didorong kejatuhan purata harga jualan (ASP) sebanyak 21% dalam nilai ringgit berikutan pengukuhan mata wang tempatan itu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, peningkatan keuntungan dipacu langkah pengoptimuman kos yang berterusan, peningkatan kecekapan operasi melalui automasi serta kadar penggunaan kilang lebih tinggi pula mencecah 74%.
MBSB Research menjangka ketidaktentuan harga bahan mentah seperti butadiena terus menjadi cabaran utama Hartalega jika konflik di Timur Tengah berlarutan serta menjejaskan rantaian bekalan global.
"Peningkatan ketara harga minyak mentah Brent sebelum ini menyebabkan harga butadiena meningkat kira-kira 50%, sekali gus memberi tekanan kepada margin pengeluar sarung tangan," jelas firma itu.
Artikel berkaitan: Untung bersih Hartalega naik 174% kepada RM40 juta bagi 4QFY26 didorong margin lebih baik
Justeru, pemain industri dijangka menaikkan ASP hingga 15% bagi menampung kenaikan kos, namun syarikat ini berusaha mengimbangi kenaikan harga dan rundingan pemindahan kos kepada pelanggan.
Pada masa sama tambah MBSB Research, tahap automasi lebih tinggi serta penggunaan kapasiti yang hampir optimum terus menjadi pemacu kepada Hartalega dapat menurunkan kos seunit sarung tangan.
Selain itu ujarnya, tanpa diambil kira operasi fasiliti dihentikan sementara, kadar penggunaan sebenar kini melebihi 96%, disokong permintaan eksport yang semakin kukuh, khususnya dari AS.
"Kilang baharu seperti Plant 9 yang sudah beroperasi sepenuhnya turut membantu bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan daya tahan operasi dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran," katanya.
Meskipun menurunkan unjuran hasil FY28, MBSB Research menaikkan unjuran pada FY27 sebanyak 3% selepas mengambil kira prestasi semasa Hartalega yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi FY26.
TP ditetapkan itu ujarnya, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan 31.9 kali ke atas unjuran FY27 yang disemak kepada 3.8 sen, dan disokong dengan margin untung kasar dianggarkan 15%.
Secara keseluruhan, walaupun berdepan tekanan luaran khususnya ketidaktentuan bahan mentah, ia masih dilihat ada asas operasi kukuh untuk meneruskan pemulihan secara berperingkat. - DagangNews.com








