Untung bersih Hartalega naik 174% kepada RM40 juta bagi 4QFY26 didorong margin lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Hartalega naik 174% kepada RM40 juta bagi 4QFY26 didorong margin lebih baik

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 MeiHartalega Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM40.0 juta bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026, meningkat ketara berbanding RM14.6 juta pada suku sama tahun lalu.


Peningkatan 173.8% ini didorong terutamanya oleh margin keuntungan yang lebih baik serta faktor pertukaran mata wang asing (forex) yang dilihat lebih memihak secara positif kepada kumpulan.


Selain itu, usaha berterusan dalam pengoptimuman kos, kawalan perbelanjaan ketat, serta peningkatan kecekapan operasi membantu melonjakkan keuntungan operasi kepada RM33.9 juta daripada RM9.6 juta.


"Syarikat namun mencatatkan perolehan sebanyak RM515.4 juta, menurun 15.7% berbanding RM611.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya," jelas Hartalega dalam makluman itu kepada Bursa Malaysia.


Kejatuhan ini disebabkan oleh pengurangan 21.3% dalam harga jualan purata (ASP) melibatkan ringgit, kesan daripada pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sepanjang suku.


Prestasi bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM101.9 juta, iaitu kenaikan 36.9% berbanding RM74.4 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Hartalega_DagangNews


Justeru ujarnya, Lembaga Pengarah Hartalega mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.80 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027, yang dijadualkan dibayar pada 16 Jun 2026.


"Mengulas mengenai prospek masa depan, kumpulan kekal yakin pemulihan mampan industri sarung tangan dalam jangka panjang disebabkan permintaan penting sektor penjagaan kesihatan," tambahnya lagi.


Bagaimanapun, syarikat menjangkakan persekitaran pasaran kekal mencabar dan tidak menentu dalam jangka masa pendek berikutan faktor ketegangan geopolitik berlarutan di rantau Timur Tengah.


Konflik tersebut kata Hartalega, menambah ketidaktentuan rantaian bekalan global dan pasaran tenaga, dengan kenaikan harga minyak mentah dijangka memberi tekanan kepada kos input utama.


Antaranya seperti lateks nitril butadiena serta kos logistik, namun kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pengautomasian untuk memperkukuhkan daya saing positif.


"Di samping itu, kumpulan bersedia menguruskan pelbagai risiko luaran secara proaktif sepanjang FY26 melalui strategi lindung nilai yang lebih berkesan," katanya. - DagangNews.com