KUALA LUMPUR 27 Feb – Meskipun prestasi 3QFY26 IJM Corp Bhd lemah, penganalisis masih berpandangan positif berikutan prospek segmen pembinaan yang kukuh, buku pesanan bernilai tinggi serta divisyen industri yang stabil.
CGS International (CGSI) tetap mengekalkan saranan “Tambah” dengan harga sasaran RM3.50 sesaham.
Firma penyelidikan itu berkata, saranan tersebut dibuat berdasarkan francais pembinaan IJM yang kukuh, prestasi stabil divisyen industri, selain potensi pertumbuhan disokong oleh pemajuan projek yang lebih cepat dan peningkatan jualan hartanah menjadikannya menarik bagi pelabur walaupun prestasi hartanah suku ini lemah
Bagi suku tersebut, keuntungan teras kumpulan merosot 38% tahun ke tahun kepada RM74 juta berbanding RM119.3 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu menjadikan keuntungan teras bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26) berjumlah RM295 juta, turun 16% berbanding tahun sebelumnya dan hanya mencapai kira-kira 60% daripada unjuran tahunan penganalisis.
Bagaimanapun, hasil kumpulan bagi 9MFY26 meningkat 12% kepada RM5 bilion, dipacu pertumbuhan kukuh dalam divisyen pembinaan dan industri.
Segmen hartanah menjadi penyumbang utama kelemahan apabila merekodkan kerugian sebelum cukai RM42 juta pada 3QFY26 berbanding keuntungan RM171 juta setahun lalu yang ketika itu disokong keuntungan jualan tanah.
Firma penyelidikan itu berkata prestasi segmen itu turut terjejas oleh kerugian tukaran asing belum direalisasikan sebanyak RM41 juta serta kos permulaan pembangunan lebih tinggi bagi projek pelaburan hartanah termasuk Light Convention Centre di Pulau Pinang dan projek di United Kingdom.
“Namun, jualan hartanah belum direkodkan bagi suku berkenaan mencecah RM500 juta, menjadikan jumlah keseluruhan 9MFY26 sebanyak RM1.2 bilion dan masih berada dalam landasan untuk mencapai sasaran tahunan antara RM1.8 bilion hingga RM2 bilion.
“Dalam pada itu, divisyen pembinaan mencatatkan peningkatan ketara apabila keuntungan sebelum cukai melonjak 119% tahun ke tahun kepada RM43 juta, dengan margin turut bertambah baik kepada 4.9%,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Kumpulan itu mempunyai buku tempahan pembinaan bernilai RM8.4 bilion setakat Disember 2025, manakala perolehan kontrak baharu tahun kewangan semasa berjumlah RM6.5 bilion, sejajar sasaran tahunan.
Dalam perkembangan lain, CGSI berkata tawaran pengambilalihan oleh Sunway Berhad pada harga RM3.15 sesaham terus menjadi tumpuan pasaran, dengan tarikh akhir semakan tawaran ditetapkan pada 23 Mac 2026 di tengah-tengah spekulasi kemungkinan terma dipinda.
CGSI berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mungkin lebih memilih tawaran tunai yang lebih tinggi, dan Kementerian Kewangan (MOF) telah mengadakan pertemuan dengan ketua GLIC untuk membincangkan pendirian mereka terhadap tawaran itu.
“Ini menunjukkan kemungkinan wujud cabaran dalam pelaksanaan tawaran. Pada harga penutup terakhir IJM dan Sunway, nilai tersirat IJM ialah RM3.33 sesaham, lebih tinggi daripada harga tawaran RM3.15 sesaham, menunjukkan potensi komplikasi dalam transaksi ini,” katanya.
Sementara itu, MBSB Research berkata harga tawaran dari Sunway dianggap wajar walaupun sedikit di bawah nilai sasaran, selaras dengan purata penilaian saham IJM lima tahun lepas dan hampir sejajar dengan nilai aset bersih per saham IJM sebanyak RM3.17.
Oleh itu, mereka mengekalkan saranan supaya pelabur menerima tawaran Sunway.
Tawaran RM3.15 sesaham kini memberi peluang kepada pelabur untuk menerima pulangan yang wajar sambil terlibat dengan syarikat induk yang kukuh. - DagangNews.com








