KUALA LUMPUR 26 Mac — Risiko kelewatan pelaksanaan projek dan kenaikan kos dihadapi MN Holdings Berhad kekal menjadi kebimbangan utama dalam sektor utiliti dan tenaga, menurut Phillip Capital.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut masih berkeyakinan yang kumpulan berkenaan berupaya untuk terus mencatatkan momentum pertumbuhan kukuh dengan kemenangan kontrak baharu bernilai besar.
Ia merujuk kejayaan anak syarikat milik penuh kumpulan itu, MN Power Transmission Sdn Bhd yang menerima dua kontrak untuk kerja projek pusat data (DC) di Johor dengan nilai keseluruhan RM245.4 juta.
"Tender ini meliputi kerja pembinaan, pembekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem serta dijadual bermula Mac 2026 serta siap menjelang Disember 2026," kata Phillip Capital dalam notanya.
Berdasarkan kepada anggaran margin keuntungan bersih sekitar 10%, kontrak terbaharu diperoleh MN Holdings ini dijangka menyumbang kira-kira RM25 juta kepada keuntungan bagi FY26 hingga FY27.
Setakat ini jelasnya, jumlah kontrak baharu yang sudah dimenangi oleh kumpulan itu mencecah RM720 juta bagi tahun semasa, sekali gus melepasi unjuran awal firma berkenaan sebanyak RM700 juta.
Susulan perkembangan positif itu, Phillip Capital menaikkan sasaran pengisian buku tempahan MN Holdings bagi FY26 kepada RM900 juta, manakala FY27 hingga FY28 dinaikkan kepada RM1 bilion.
"Ketika ini buku tempahan semasa berada pada paras RM1.3 bilion, dengan sekitar 60% daripadanya disumbang projek DC, mencerminkan pendedahan kukuh kepada segmen pertumbuhan tinggi," katanya.
Artikel berkaitan: MN Holdings raih dua kontrak pusat data RM245.4 juta

Pada masa sama, firma penyelidikan itu menjangkakan lebih banyak kontrak bakal diperoleh oleh kumpulan ini dalam tempoh terdekat, termasuk potensi tambahan RM200 juta daripada klien sedia ada.
Selain DC tambah Phillip Capital, projek berkaitan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal menjadi penyumbang utama kepada buku tender MN Holdings, merangkumi 49% daripada jumlah RM2.9 bilion.
Selebihnya pula katanya, melibatkan segmen DC (25%), tenaga solar (12%), manakala baki membabitkan kerja-kerja pembangunan kerja yang berkaitan segmen air dan pembetungan serta saluran paip gas.
"Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 antara 1% hingga 25% dan meningkatkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM2.59 berbanding RM2.37 sebelum ini," jelasnya.
Saranan 'beli' turut dikekalkan Phillip Capital, dengan saham MN Holdings kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 11 kali bagi FY27, dilihat menarik berbanding purata sejarah.
Di samping itu, firma tersebut turut melihat kumpulan ini sebagai proksi pertumbuhan infrastruktur tenaga Malaysia, selain pendedahan strategik kepada sektor DC dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Namun begitu, beberapa risiko utama masih perlu diberi perhatian termasuk kelewatan penganugerahan projek baharu, cabaran pelaksanaan serta peningkatan kos bahan yang boleh menjejaskan margin.
"Secara am, kami berpandangan MN Holdings pada kedudukan baik memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor DC, walaupun berdepan cabaran operasi dalam persekitaran kos tinggi," katanya. - DagangNews.com








