KUALA LUMPUR 25 Mac - MN Holdings Berhad mengukuhkan kedudukannya dalam segmen infrastruktur tenaga kritikal selepas meraih dua kontrak pembinaan fasiliti stesen pendaratan pengguna (CLS) bagi pusat data dengan nilai keseluruhan RM245.40 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn. Bhd. memperoleh dua kontrak masing-masing bernilai RM125.40 juta dan RM120.00 juta untuk projek di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.
Kontrak tersebut melibatkan kerja pembinaan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan infrastruktur CLS bagi dua pembangunan pusat data berasingan.
“Kedua-dua projek ini melibatkan pembinaan CLS berkapasiti 275 kilovolt (kV), mencerminkan keupayaan kumpulan dalam menyediakan infrastruktur tenaga voltan tinggi bagi menyokong operasi pusat data berskala besar,” katanya.
Projek berkenaan dijadual bermula pada suku pertama 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun yang sama.
Kemenangan kontrak ini dilihat selari dengan pertumbuhan pesat sektor pusat data di Malaysia, khususnya di wilayah selatan yang terus menarik pelaburan dalam infrastruktur digital.
Selain itu, MN Holdings turut memperluas penglibatannya dalam segmen tenaga boleh diperbaharui dan utiliti apabila memperoleh kontrak tambahan daripada Tenaga Nasional Berhad.
Sepanjang bulan lalu, kumpulan itu berjaya meraih dua kontrak berkaitan solar bernilai kira-kira RM39.80 juta serta dua kontrak kerja sambungan pencawang bernilai RM26.58 juta.
Kesemua projek tersebut melibatkan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, sekali gus mengukuhkan lagi kepakaran kumpulan dalam penyelesaian infrastruktur tenaga.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dang Siong Diang berkata, anugerah kontrak berkenaan mencerminkan penglibatan berterusan kumpulan dalam pembangunan infrastruktur pusat data, di samping kekal aktif dalam segmen tenaga boleh diperbaharui.
“Permintaan terhadap infrastruktur digital dan tenaga terus berkembang, membuka peluang lebih luas merentasi pelbagai segmen.
“Kami akan terus memanfaatkan pengalaman dan rekod prestasi untuk melaksanakan projek dengan cekap serta merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com








