Margin Kim Loong tertekan disebabkan isu kilang rosak heret keuntungan pada 3QFY26 – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin Kim Loong tertekan disebabkan isu kilang rosak heret keuntungan pada 3QFY26 – AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Dis — Keuntungan bersih Kim Loong Resources Berhad menurun 7.2% suku ke suku (QoQ) kepada RM43.9 juta bagi 3QFY26, terutamanya akibat tekanan ke atas margin bahagian pengilangan 


Menurut AmInvestment Bank, kemerosotan itu susulan peningkatan kos penyelenggaraan dan pembaikan, dengan kemungkinan berpunca daripada kerosakan di salah satu kilang minyak sawitnya pada suku itu.


Bagi 4QFY26 pula, firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi kewangan kumpulan kekal mendatar, apabila pemulihan pendapatan pengilangan dijangka diimbangi oleh penurunan harga produk sawit.


"Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Kim Loong dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM2.91 sesaham," jelasnya dalam satu nota kajian.


Nilai berkenaan kata AmInvest, berdasarkan gandaan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PE) pada 2026 sebanyak 16 kali, sedikit lebih rendah daripada purata lima tahun kira-kira 18 kali.


Jangkaan itu pula berikutan faktor penuaan pokok sawit, dengan 44% kawasan tanaman kumpulan sudah berusia lebih 16 tahun, yang berpotensi menjejaskan hasil buah tandan segar (BTS) pada masa depan.


Artikel berkaitan: Untung bersih Kim Loong susut 12% kepada RM43.88 juta pada 3QFY26



Bagi tempoh 9MFY26 pula, keuntungan bersih Kim Loong menyusut sebanyak 4.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM133.1 juta, sejajar dengan unjuran awal firma tersebut dan konsensus pasaran sendiri.


"Kejatuhan ini didorong oleh prestasi pengilangan yang lebih lemah, dengan perolehan pengilangan merosot 19.8% YoY kepada RM83.3 juta, serta margin kasar pengilangan juga susut," kata AmInvest.


Ia memaklumkan hakisan itu kepada RM72 setiap tan berbanding RM87 pada 9MFY25, berpunca daripada peningkatan kos pembaikan dan penyelenggaraan kilang, isu pematuhan serta pengangkutan harian.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan Kim Loong berpotensi akan menaikkan caj pengilangan sekali lagi pada FY27, selepas kenaikan terakhir sebanyak RM15 setiap tan pada 2QFY26.


Bagaimanapun ujarnya, prestasi bahagian perladangan kekal kukuh, dengan perolehan kasar meningkat 20% YoY kepada RM126 juta bagi 9MFY26, dan pengeluaran BTS meningkat 2.9% kepada 248,291 tan.


"Purata harga minyak sawit mentah (MSM) bertambah kepada RM4,300 setiap tan berbanding RM4,097 bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dan menyumbang 60% kepada jumlah perolehan kumpulan," jelasnya.


AmInvest turut menegaskan, Kim Loong berada pada kedudukan baik mendapat manfaat potensi kenaikan harga MSM, selain menawarkan hasil dividen menarik dianggarkan 6.6% bagi FY26. - DagangNews.com