Untung bersih Kim Loong susut 12% kepada RM43.88 juta pada 3QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Kim Loong susut 12% kepada RM43.88 juta pada 3QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Dis – Untung bersih Kim Loong Resources Berhad menyusut 12% kepada RM43.88 juta  pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2025 (3QFY2026) berbanding RM49.96 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perladangan kelapa sawit itu berkata keuntungan bersihnya terjejas disebabkan kos pembaikan dan penyelenggaraan operasi kilang sawit yang lebih tinggi.

 

“Namun hasil Kumpulan meningkat 5% kepada RM469.03 juta berbanding RM446.38 juta pada suku tersebut didorong oleh harga jualan buah tandan segar dan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi selain pertumbuhan sederhana dalam pengeluaran FFB bagi tempoh kumulatif.

 

“Namun, keuntungan sebelum cukai suku tersebut susut 10% kepada RM68.63 juta berbanding RM76.59 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan kos operasi dan kewangan yang lebih tinggi,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Keuntungan selepas cukai bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2025 berjumlah RM162.39 juta, sedikit rendah berbanding RM164.54 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham syarikat pula berjumlah RM133.11 juta berbanding RM138.98 juta sebelum ini.

 

Kumpulan berkata, segmen perladangan mencatatkan prestasi lebih baik, dengan hasil kumulatif meningkat 14% kepada RM213.11 juta dan keuntungan melonjak 20% kepada RM126.03 juta, disokong oleh harga FFB yang lebih tinggi serta peningkatan pengeluaran. 

 

Sebaliknya, segmen pengilangan sawit mencatatkan penurunan keuntungan sebanyak 20% kepada RM83.33 juta walaupun hasil meningkat 6%, terutamanya akibat margin pemprosesan yang lebih rendah serta kos pembaikan dan penyelenggaraan yang lebih tinggi.

 

Kim Loong turut memaklumkan bahawa hasil daripada pembekalan tenaga ke grid melalui loji biogas kumpulan meningkat, dengan pendapatan sebanyak RM9.42 juta bagi tempoh sembilan bulan, naik 11% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

“Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM1.51 bilion setakat 31 Oktober 2025 berbanding RM1.37 bilion pada 31 Januari 2025. 

 

“Aset bersih kumpulan turut meningkat kepada RM1.06 bilion, dengan aset bersih sesaham pada RM0.95,” katanya.

 

Lembaga pengarah mengumumkan dividen khas satu peringkat sebanyak 3 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, yang akan dibayar pada 10 Februari 2026. 

 

Secara keseluruhan, jumlah dividen bagi tahun kewangan semasa adalah sebanyak 8 sen sesaham.

 

Mengulas prospek, pihak pengurusan menjangkakan pengeluaran FFB meningkat antara 6% hingga 8% bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026, disokong oleh profil usia pokok yang lebih baik dan program penanaman semula berterusan. 

 

Harga purata CPO pula dijangka kekal melebihi RM4,200 satu tan metrik.

 

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, Kim Loong menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan 2026 berada pada tahap memuaskan, disokong oleh keadaan pasaran yang stabil dan permintaan yang berterusan bagi produk sawit. - DagangNews.com