Margin Eco-Shop pada 1QFY26 naik disebabkan pelarasan harga produk kepada RM2.60, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Margin Eco-Shop pada 1QFY26 naik disebabkan pelarasan harga produk kepada RM2.60, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Okt – Pelarasan harga barangan Eco-Shop Marketing Berhad kepada RM2.60 mulai 14 April 2025 menjadi pemangkin utama kepada peningkatan margin keuntungan kasar kumpulan berkenaan.


Menurut Maybank Investment Bank, perkembangan tersebut sekali gus membantu syarikat peruncitan berkenaan dapat menampung kelemahan jualan sama kedai (SSSG) yang lebih perlahan pada masa sama.


Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.70 daripada RM1.45, mencerminkan prospek pendapatan yang stabil disokong margin lebih tinggi.


"Pengembangan rangkaian sebanyak 20 cawangan baharu tahun ini dengan jumlah keseluruhan setakat akhir 1QFY26 kepada 391 cawangan turut membantu Eco-Shop," kata firma itu dalam notanya hari ini.


Tambah Maybank IB, keputusan suku pertama tahun kewangan 2026 syarikat tersebut turut berada dalam jangkaannya dengan keuntungan bersih teras meningkat 3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM59 juta.


Perkembangan itu mewakili 24% daripada unjuran pendapatan setahun penuh firma tersebut dengan margin keuntungan kasar meningkat 6.4 mata peratusan YoY, didorong pelarasan harga naik 1.8%.


Ia berkata, faktor sumbangan pendapatan yang lain daripada pelaburan pasaran wang dan instrumen derivatif turut berjaya membantu Eco-Shop walaupun SSSG didapati menurun sebanyak 12.7% YoY.

 

Artikel berkaitan: Untung bersih Eco-Shop naik 48.4% kepada RM58.8 juta pada 1QFY26


"Dari segi suku ke suku (QoQ) pula, pendapatan turun sedikit kira-kira 1% berikutan kempen promosi 'purchase-with-purchase' (PWP) yang dijalankan bagi merangsang trafik pelanggan," kata Maybank IB.


Sementara itu jelas firma penyelidikan tersebut, keuntungan bersih teras meningkat 3% QoQ hasil penjimatan kos pengedaran dan jualan (S&D) sebanyak 12% selepas langkah rasionalisasi pekerja.


Sebanyak 81 lagi cawangan baharu sudah diluluskan untuk pembukaan pada FY26, melebihi sasaran jangka panjang syarikat untuk menambah 70 cawangan setahun dalam tempoh lima tahun akan datang.


Maybank IB turut meningkatkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 sebanyak 1% hingga 4%, dengan andaian pembukaan sejumlah 80 cawangan baharu setahun dan margin keuntungan kasar naik 0.7 mata.


"Kami menjangkakan pendapatan Eco-Shop akan terus meningkat secara beransur-ansur apabila jualan kembali normal dan margin kekal stabil, meskipun SSSG mungkin turun 5% pada FY26," tambahnya. 


Pada masa sama, firma berkenaan memberi amaran risiko penurunan termasuk tekanan inflasi terhadap perbelanjaan pengguna, kelewatan pembukaan cawangan baharu, serta masalah rantaian bekalan.


Faktor turun naik mata wang asing juga boleh menjejaskan hasil kumpulan tersebut memandangkan 69% barangannya diimport dari China dan pelbagai negara lain. - DagangNews.com