Untung bersih Eco-Shop naik 48.4% kepada RM58.8 juta pada 1QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Eco-Shop naik 48.4% kepada RM58.8 juta pada 1QFY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Eco-Shop Marketing Berhad mencatatkan kenaikan untung bersih sebanyak 48.4% kepada RM58.8 juta pada suku pertama berakhir 31 Ogos 2025 (1QFY26) berbanding RM39.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong harga jualan serta campuran produk lebih baik.

 

Hasil kumpulan bagi suku berkenaan juga naik kepada RM684.3 juta berbanding RM667.7 juta pada 1QFY25.

 

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen interim tunggal berperingkat tunggal sebanyak 0.5 sen sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM28.7 juta, yang akan dibayar pada 26 November 2025.

 

 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jessica Ng berkata, rancangan perluasan rangkaian kedai berjalan dengan baik disokong pembukaan cawangan baharu yang kukuh bagi FY26 dan ia dijangka meluaskan jejak perniagaan kumpulan memandangkan kemapuan mengekalkan kualiti kepada pengguna.

 

"Kami percaya masih terdapat ruang pertumbuhan yang luas bagi konsep peruncitan nilai kami, selaras dengan semakin ramai rakyat Malaysia yang mengamalkan perbelanjaan berhemah dan mencari keperluan harian yang boleh dipercayai. 

 

"Pada masa yang sama, kami memberi tumpuan yang lebih besar kepada pembangunan rangkaian produk dalaman untuk menawarkan kualiti yang lebih baik pada harga yang menarik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, pihaknya melihat sedikit tekanan terhadap sentimen pengguna sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan akan terus memantau keadaan dengan teliti agar kekal aktif dalam tindak balas kumpulan.

 

 

 

 

 

 

"Fokus kami adalah mengoptimumkan harga, menambah baik campuran produk serta memperhalusi promosi bagi memastikan kami kekal relevan dan berdaya saing.

 

"Pada masa yang sama, kami sedang mengukuhkan jenama melalui penambahbaikan kedai bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan menarik lebih ramai pengunjung. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan serta daya saing jangka panjang kami dalam segmen peruncitan," katanya.- DagangNews.com