Malaysia masih ada masa berunding dengan AS sebelum tarif 25% bermula pada 1 Ogos - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia masih ada masa berunding dengan AS sebelum tarif 25% bermula pada 1 Ogos - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Julai - Malaysia mempunyai masa untuk meredakan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Washington mengesahkan tarif 25% ke atas barangan Malaysia akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025, kata CGS International.

 

Katanya, tempoh tiga minggu itu memberikan sedikit harapa untuk rundingan lanjut dan ada pihak berpendapat mentafsirkan penangguhan itu bukan sebagai satu peningkatan ketegangan tetapi sebagai langkah strategik daripada Donald Trump.

 

“Berdasarkan gaya rundingan Trump sebelum ini, ini mungkin merupakan taktik menekan negara-jegara lain yang sedang berunding bagi mendapatkan lebih banyak kelebihan dan bukan keputusan muktamad. 

 

"Masih ada ruang untuk Malaysia berunding bagi mendapatkan hasil yang lebih baik,” katanya dalam satu nota kajian

 

Firma penyelidikan itu mengambil maklum, kadar tarif baharu ke atas Malaysia masih lebih rendah daripada purata ASEAN (iaitu 25% berbanding 33%).

 

ARTIKEL BERKAITAN: AS kenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos, lebih tinggi daripada tarif asal 24%

 

Walaupun mengakui risiko penurunan kepada eksport Malaysia akibat tarif itu– memandangkan AS merupakan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia pada 2024 dengan 13.2% – senarai pengecualian yang telah diumumkan pada 2 dan 11 April lalu memberi sedikit kelegaan.

 

"Apabila disesuaikan dengan barangan yang dikecualikan, kami menganggarkan bahagian eksport Malaysia ke AS yang terdedah kepada tarif berkurangan daripada 12.4% kepada 6.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

 

CGS International berkata, bagi sektor sarung tangan, perbezaan kadar tarif antara Malaysia (25%) dan China (30% + 50%) memberikan kelebihan harga kepada Malaysia di pasaran AS.

 

Namun begitu, firma penyelidikan itu memberi peringatan terhadap kemungkinan tindakan pengeluar sarung tangan China yang menyalurkan lebihan inventori mereka ke pasaran bukan AS, sekali gus menurunkan harga di pasaran tersebut dan berpotensi mengembangkan operasi ke Vietnam yang dikenakan tarif lebih rendah oleh AS (20%) berbanding Malaysia.

 

Bagi sektor Teknologi, kami mengambil maklum bahawa semikonduktor (bersama produk elektronik pengguna seperti telefon pintar) masih dikecualikan daripada tarif Trump.

 

"Bagi sektor Agribisnes, kami menjangka kesan tarif ke atas sektor ini adalah minimum memandangkan hanya 2.3% eksport minyak sawit Malaysia dihantar ke AS pada tahun 2024. 

 

"Perbezaan kadar tarif antara Malaysia dan Indonesia (iaitu 25% berbanding 32%) juga seharusnya memberikan sedikit kelebihan harga kepada minyak sawit Malaysia di pasaran AS," katanya.- DagangNews.com