Pasaran Malaysia terbitkan IPO terbesar di ASEAN pada 1H26 didorong penyenaraian saham mega - Deloitte | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pasaran Malaysia terbitkan IPO terbesar di ASEAN pada 1H26 didorong penyenaraian saham mega - Deloitte

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Julai – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai pasaran penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di rantau Asia Tenggara bagi separuh pertama 2026, menurut Deloitte.

 

Perkembangan itu didorong penyenaraian saham mega dan peningkatan selera pelabur terhadap syarikat berkualiti tinggi, serta mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap pasaran modal tempatan.

 

Firma itu dalam laporan 'Southeast Asia Mid-Year IPO Snapshot 2026' berkata, rantau ini dilihat beralih kepada urus niaga bernilai lebih besar dengan merekodkan 47 IPO dalam tempoh enam bulan pertama.

 

"Jumlah dana yang berjaya dikumpulkan melebihi AS$3.07 bilion (RM12.5 bilion), manakala keseluruhan permodalan pasaran IPO di pasaran ASEAN mencecah AS$15.07 bilion (RM61.5 bilion)," tambah Deloitte.

 

Ujarnya lagi, walaupun jumlah penyenaraian adalah susut berbanding sebanyak 53 IPO pada separuh pertama 2025, nilai dana diraih melonjak kira-kira 117% daripada AS$1.41 bilion (RM5.75 bilion).

 

Sementara permodalan pasaran IPO pula kata firma tersebut, meningkat 96% daripada AS$7.7 bilion (RM31.4 bilion), menandakan perubahan jelas ke arah penyenaraian saham yang berskala lebih besar.

 

Bursa Malaysia_DagangNews2026

 

Menurut Deloitte, saiz purata setiap IPO turut meningkat kepada AS$65 juta (RM265 juta), naik 2.4 kali daripada tempoh sama tahun lalu, mencerminkan pelabur memilih saham dengan perniagaan kukuh.

 

"Prestasi Malaysia banyak disokong penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Berhad, mengumpul AS$707 juta (RM2.8 bilion) dengan permodalan pasaran sebanyak AS$4.13 bilion (RM16.8 bilion)," katanya.

 

Ia turut memaklumkan Asia Tenggara merekodkan tiga IPO yang mempunyai permodalan pasaran melebihi AS$1 bilion (RM4.07 bilion) dalam separuh pertama 2026, menyamai pencapaian tempoh sama tahun lalu.

 

Melangkah ke hadapan, Deloitte menjangkakan pasaran IPO Asia Tenggara terus kekal sihat disokong banyak syarikat mula bersedia untuk disenaraikan, dengan sentimen pelabur yang semakin positif.

 

Malaysia pula mampu mengekalkan momentum kukuh dalam pasaran IPO, dengan trend pasaran kekal kepada transaksi besar dan berkualiti tinggi berbanding peningkatan jumlah penyenaraian. - DagangNews.com