MARC Ratings kekal penarafan AAAIS sukuk RM3.2 bilion TNB Western Energy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MARC Ratings kekal penarafan AAAIS sukuk RM3.2 bilion TNB Western Energy

Gambar/ Facebook TNB Manjung Five
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Julai - MARC Ratings mengekalkan penarafan AAAIS dengan prospek stabil ke atas program sukuk bernilai RM3.2 bilion milik TNB Western Energy Bhd, mencerminkan keyakinan terhadap profil kredit syarikat serta sokongan kukuh daripada syarikat induknya, Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

 

Agensi penarafan itu berkata, penarafan berkenaan kekal sejajar dengan penarafan kredit korporat AAA/Prospek Stabil TNB, disokong oleh jaminan bergilir tanpa syarat dan tidak boleh ditarik balik yang diberikan oleh utiliti nasional itu bagi menampung sebarang kekurangan dalam Akaun Perkhidmatan Pembiayaan (FSA).

 

Selain itu, TNB turut memberi komitmen untuk mengekalkan pegangan langsung atau tidak langsung sepenuhnya dalam TNB Manjung Five Sdn. Bhd. dan TNB Western Energy sepanjang tempoh sukuk tersebut.

 

TNB Western merupakan syarikat tujuan khas pembiayaan bagi TNB Manjung Five yang memiliki dan mengendalikan loji janakuasa arang batu berkapasiti 1,000 megawatt (MW) di Manjung, Perak.

 

Loji berkenaan membekalkan tenaga elektrik kepada TNB di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 25 tahun.

 

MARC Ratings bagaimanapun berkata, kadar gangguan tidak dirancang (UOR) loji itu meningkat kepada 13.7% pada akhir 2025, melebihi had yang dibenarkan di bawah PPA iaitu antara 6% hingga 8%.

 

Katanya, peningkatan tersebut berpunca daripada beberapa gangguan teknikal termasuk kerosakan pada tiub dandang selama 16 hari, generator selama 18 hari dan paip turbin selama lapan hari.

 

"Kerja-kerja pembaikan telah disiapkan dan kadar gangguan tidak dirancang dijangka kembali berada di bawah had PPA menjelang pertengahan September 2026," katanya.

 

Gangguan operasi itu menyebabkan pembayaran kapasiti susut sebanyak RM50.6 juta, sekali gus menurunkan pembayaran kapasiti sebanyak 8.7% tahun ke tahun kepada RM522.2 juta pada 2025.

 

Pada masa sama, pembayaran tenaga turut merosot 21.5% kepada RM1.12 bilion selepas penjanaan bersih elektrik berkurangan 8.9% kepada 6,692.6 gigawatt-jam (GWh) akibat penurunan kadar ketersediaan loji.

 

Menurut MARC Ratings, pemindahan kos bahan api juga kekal terhad berikutan ruang kadar haba (heat-rate) yang kecil di bawah terma PPA selain isu operasi biasa seperti pembentukan kerak dan mendapan abu pada dandang.

 

Walaupun berdepan cabaran operasi tersebut, TNB Manjung Five terus menunjukkan daya tahan kewangan dengan mengekalkan aliran tunai operasi yang stabil.

 

Aliran Tunai Operasi Kukuh

Hasil syarikat susut 21.5% kepada RM1.4 bilion pada 2025 berikutan pembayaran tenaga yang lebih rendah, namun aliran tunai daripada operasi kekal kukuh pada RM316 juta.

 

Sehingga 6 Mac 2026, syarikat memiliki tunai sebanyak RM103.3 juta dan bersama purata aliran tunai operasi bulanan RM31.9 juta, kecairan yang ada mencukupi untuk memenuhi pembayaran keuntungan dan prinsipal sukuk berjumlah RM201.8 juta yang akan matang pada 30 Julai 2026.

 

MARC Ratings turut mengunjurkan nisbah perlindungan perkhidmatan pembiayaan (Finance Service Coverage Ratio, FSCR) purata sebanyak 1.55 kali, dengan paras minimum 1.36 kali sepanjang baki tempoh sukuk.

 

Agensi itu berkata, perlindungan aliran tunai sukuk kekal berdaya tahan walaupun di bawah senario sederhana yang lebih mencabar, termasuk peningkatan 10% dalam kos operasi berubah serta pengurangan antara 2% hingga 5% dalam pembayaran kapasiti. - DagangNews.com