KUALA LUMPUR 14 Julai – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati bekas Timbalan Pengarah Urusan WCT Bhd, Goh Chin Liong dan Pengarah Ara Holdings Sdn Bhd, Leong Ah Chai bertanggungjawab melakukan dagangan orang dalam.
Keputusan sebulat suara itu turut mengekalkan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2022 yang memerintahkan Goh dan Leong membayar keseluruhan RM5.83 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) susulan pelanggaran di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Leonard David Shim dan Datuk Aliza Sulaiman menolak kedua-dua rayuan yang difailkan oleh Goh dan Leong dengan kos sebanyak RM100,000 bagi setiap rayuan.
Mahkamah turut memutuskan bahawa tiada kesilapan yang boleh dirayu dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan mahkamah rayuan, sekali gus mengekalkan keputusan terdahulu.
Berdasarkan penghakiman itu, Goh dan Leong masing-masing diarahkan membayar RM2.54 juta sebagai pemulangan jumlah kerugian yang berjaya dielakkan, penalti sivil RM300,000 serta kos RM75,000 kepada SC.
SC memfailkan tindakan sivil terhadap kedua-dua individu berkenaan pada 2015 atas dakwaan melanggar Seksyen 188(2) dan Seksyen 188(3) CMSA berkaitan kesalahan dagangan orang dalam.
Menurut keterangan SC, Goh telah menyampaikan maklumat penting yang belum didedahkan kepada umum kepada Leong berkaitan pembatalan kontrak pembinaan sebuah litar lumba di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Kontrak berkenaan sebelum itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan oleh WCT dan Arabtec Construction LLC bagi projek berkenaan.
Pembatalan kontrak tersebut dianggap sebagai maklumat material yang boleh memberi kesan kepada harga saham WCT sekiranya diketahui pasaran.

Selepas menerima maklumat berkenaan, Leong kemudiannya menjual sebanyak 1.64 juta saham WCT menerusi akaun dagangan Ara Holdings antara 2 hingga 5 Januari 2009, sebelum maklumat pembatalan kontrak tersebut diketahui umum.
SC berhujah bahawa tindakan menjual saham lebih awal itu membolehkan Leong mengelakkan kerugian yang mungkin berlaku apabila maklumat tersebut diumumkan kepada pasaran dan memberi kesan terhadap nilai saham WCT.
Dalam perbicaraan penuh sebelum ini, Mahkamah Tinggi yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan memihak kepada SC selepas mendapati kedua-dua defendan bertanggungjawab atas pelanggaran berkaitan dagangan orang dalam.
Pada 26 Mei 2026, SC turut berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi untuk mengembalikan perintah garnisi terhadap Goh dan Leong yang membolehkan SC meneruskan tindakan mendapatkan semula jumlah penghakiman RM5.83 juta.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SC berkata pihaknya akan meneruskan langkah seterusnya bagi menguatkuasakan penghakiman dan mendapatkan semula jumlah berkenaan daripada kedua-dua defendan.
SC dalam kenyataannya berkata dagangan orang dalam merupakan satu pelanggaran serius kerana ia menjejaskan integriti pasaran modal serta boleh menghakis keyakinan pelabur.
Menurut SC, keputusan Mahkamah Rayuan itu menghantar mesej jelas bahawa salah laku sedemikian tidak akan diterima.
SC berkata pihaknya akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan integriti pasaran modal Malaysia terus dipelihara, selain melindungi kepentingan pelabur dan keyakinan awam terhadap pasaran modal negara. - DagangNews.com








