KUALA LUMPUR 14 Julai – Oasis Harvest Corporation Berhad berhasrat melupuskan anak syarikatnya yang mengendalikan perniagaan restoran Itali, Oasis Harvest Dining Sdn Bhd (OHDSB) bernilai RM2.45 juta.
Cadangan penjualan kepada peguam, Jonathan Chan itu, adalah berasas meskipun masih mempunyai nilai jenama komersial, pangkalan data pelanggan sedia ada serta lesen minuman keras yang dimilikinya.
Dalam makluman tambahan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu menjelaskan harga tersebut dipersetujui berdasarkan rundingan antara penjual dan pembeli dengan mengambil kira nilai strategik perniagaan.
"Situasi ini membolehkan pembeli meneruskan operasi sebaik sahaja urus niaga disempurnakan," kata Oasis Harvest. OHDSB pernah merekodkan kerugian bagi tiga tahun kewangan sehingga 31 Disember 2025.
Subsidiari berkenaan jelasnya, mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM0.81 juta dan berada dalam kedudukan liabiliti bersih yang mencecah kira-kira RM488,533 pada akhir tahun kewangan tersebut.
Keadaan itu mengakibatkan hasil kumpulan merosot daripada RM5.47 juta kepada RM924,792, manakala kerugian sebelum cukai meningkat kepada RM1.97 juta berbanding RM295,820 dicatatkan sebelum ini.

Kata Oasis Harvest, kemerosotan itu sebahagian besar berpunca daripada kehilangan pelanggan utama, sekali gus memaksa syarikat berkenaan mengurangkan pembelian inventori sepanjang tempoh tersebut.
"Bagaimanapun, aset semasa kumpulan naik kepada RM4.4 juta pada akhir 2025 berbanding RM1.2 juta sebelum itu, didorong peningkatan penghutang lain susulan pengelasan semula jumlah yang terhutang.
Kumpulan berkenaan turut memaklumkan, pembeli akan menjelaskan keseluruhan harga pelupusan OHDSB secara tunai, dengan RM600,000 sudah pun dibayar sebelum pemeteraian perjanjian jual beli (SPA).
Ini diikuti RM200,000 dalam tempoh setahun selepas SPA, manakala baki RM1.65 juta akan dibayar secara ansuran dalam tempoh dua tahun, selepas mengambil kira permintaan pembeli ketika rundingan.
Tambah Oasis Harvest, daripada hasil pelupusan tersebut, sebanyak RM2.205 juta atau 90% akan diguna bagi membiayai keperluan modal kerja dalam tempoh 24 bulan selepas urus niaga disempurnakan.
"Sementara baki kira-kira RM245,000 pula diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan berkaitan pelaksanaan cadangan pelupusan tersebut," kata kumpulan itu. - DagangNews.com








