KUALA LUMPUR 14 Julai - Sin-Kung Logistics Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong (AAHK) bagi meneroka kerjasama strategik dalam memperkukuh kesalinghubungan kargo udara serta membangunkan penyelesaian logistik rentas sempadan yang lebih cekap di rantau ini.
Kerjasama itu dijangka membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk membangunkan penyelesaian logistik pelbagai mod, meningkatkan kecekapan operasi serta mengukuhkan rangkaian kargo udara dengan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan masing-masing.
Sin-Kung Logistics berkata, MoU tersebut turut menjadi platform bagi mengenal pasti inisiatif yang dapat menyokong integrasi rantaian bekalan serantau, selaras dengan peningkatan aliran perdagangan global dan keperluan logistik antarabangsa yang semakin kompleks.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, kerjasama dengan AAHK akan mengukuhkan hubungan antara hab-hab utama kargo udara serta mewujudkan lebih banyak peluang pertumbuhan dalam sektor logistik.
"MoU ini menyediakan platform untuk kami bekerjasama rapat dengan AAHK dalam meneroka peluang yang menyokong pembangunan kargo udara serantau serta memperkukuh kesalinghubungan antara pintu masuk utama kargo.
"Ketika aliran perdagangan terus berkembang dan rantaian bekalan menjadi semakin saling berhubung, kami percaya kerjasama yang lebih erat akan membolehkan kedua-dua pihak mengenal pasti inisiatif yang mencipta nilai lebih besar kepada pelanggan, di samping menyokong pertumbuhan berterusan perdagangan rentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan keupayaan Sin-Kung Logistics dalam menawarkan penyelesaian logistik yang lebih bersepadu kepada pelanggan, selain mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran pengangkutan kargo udara yang semakin kompetitif.
Bagi AAHK pula, kerjasama tersebut sejajar dengan usaha berterusan badan itu memperkukuh peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA) sebagai hab kargo udara utama dunia melalui jaringan kerjasama strategik dengan pemain industri serantau.
AAHK merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab mengendalikan dan membangunkan HKIA, yang diiktiraf sebagai hab kargo udara paling sibuk di dunia.
MoU itu juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memanfaatkan pertumbuhan perdagangan serantau, memperkukuh jaringan logistik rentas sempadan serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang. - DagangNews.com








