KUALA LUMPUR 14 Julai – Matrix Concepts Holdings Bhd memulakan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJK(T)) Ladang Labu Bahagian 4 di MVV City, Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada pembangunan bandar bersepadu yang menyokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan komuniti dan peningkatan nilai hartanah.
Sekolah baharu itu dibangunkan di dalam MVV City, sebuah bandar berkeluasan 963.97 hektar yang dibangunkan Matrix Concepts menerusi kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Negeri Sembilan melalui NS Corporation.
Projek pembinaan sekolah itu dianggarkan bernilai kira-kira RM8.9 juta dan direalisasikan hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Lembaga Pengelola SJK(T) Ladang Labu Bahagian 4, komuniti setempat serta penyumbang korporat.
Matrix Concepts menyumbang 50 peratus daripada kos pembangunan, manakala baki pembiayaan diperoleh menerusi usaha kutipan dana oleh Lembaga Pengelola sekolah bersama sumbangan komuniti dan pihak berkepentingan lain.
Sekolah berkenaan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dan akan dilengkapi 12 bilik darjah, makmal sains, makmal komputer, perpustakaan, kemudahan prasekolah, dewan serbaguna, padang bola sepak serta pelbagai kemudahan sokongan.
Ketika ini, SJK(T) Ladang Labu Bahagian 4 mempunyai kira-kira 20 murid, namun sekolah baharu itu dijangka mampu menampung pertambahan jumlah pelajar selaras dengan perkembangan pesat kawasan sekitar dan pembangunan berterusan di MVV City.

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan turut dihadiri wakil Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri Negeri Sembilan, NS Corporation serta Matrix Concepts.
Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee berkata, pembinaan sekolah itu mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan bandar bersepadu yang bukan sahaja menawarkan kawasan kediaman dan ruang komersial, malah turut dilengkapi kemudahan awam yang menyokong keperluan penduduk.
Menurut beliau, pembangunan sesebuah bandar yang berjaya bukan hanya diukur melalui infrastruktur yang dibina, sebaliknya bergantung kepada peluang dan kualiti kehidupan yang dapat diwujudkan untuk masyarakat.
"Ketika kami terus membangunkan MVV City, visi kami adalah untuk mewujudkan sebuah ekosistem yang lengkap dan bersedia menghadapi masa depan, di mana komuniti dapat berkembang, keluarga menikmati kehidupan yang lebih baik dan generasi akan datang mempunyai akses kepada kemudahan yang diperlukan.
“Pembinaan sekolah itu juga mencerminkan semangat ulang tahun ke-30 Matrix Concepts menerusi tema "People. Progress. Tomorrow" (Manusia. Kemajuan. Masa Depan), yang menekankan pembangunan bandar yang mampu mewujudkan komuniti lebih kukuh serta membuka peluang kepada keluarga, perniagaan dan generasi akan datang,” katanya.
Pembinaan sekolah itu dijangka menyokong pembangunan jangka panjang MVV City sebagai bandar bersepadu yang menawarkan keseimbangan antara pembangunan kediaman, aktiviti ekonomi dan kemudahan awam, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan itu sebagai destinasi untuk didiami dan dijadikan pelaburan. - DagangNews.com








