KUALA LUMPUR 14 Julai – Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama dalam bidang bioteknologi menerusi penyelidikan bersama bagi membangunkan penyelesaian kesihatan berasaskan teknologi ekstrak sarang burung.
Kerjasama antara syarikat berstatus BioNexus, Glyken Bio Products Sdn Bhd dan Ortho Group dari Jepun itu memberi fokus kepada penerokaan aplikasi ekstrak sarang burung milik Glyken dalam pembangunan perubatan terapeutik serta penjagaan kesihatan.
Inisiatif berkenaan diusahakan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation dengan matlamat mewujudkan platform penyelidikan bersama, kajian klinikal serta inovasi penjagaan kesihatan yang memanfaatkan kepakaran kedua-dua negara.
Cadangan kerjasama itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Glyken, Eric Shak serta Pengasas dan Pengerusi Ortho Group, Dr. Hiroyasu Tomo, di pejabat Bioeconomy Corporation pada 13 Julai 2026.
Glyken yang berpangkalan di Johor merupakan syarikat bioteknologi yang menjalankan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengesahan dan pembuatan ekstrak sarang burung yang diformulasikan kepada produk kesihatan serta kesejahteraan berasaskan teknologi nanopeptida miliknya.
Ortho Group pula ialah kumpulan perubatan dan kesejahteraan dari Jepun yang menggabungkan amalan perubatan moden dengan pendekatan pencegahan, pemulihan, kesejahteraan serta perubatan regeneratif.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menggabungkan kepakaran penyelidikan Glyken dengan pengalaman Ortho Group dalam bidang kesihatan dan aplikasi klinikal bagi meneroka pembangunan penyelesaian kesihatan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, kerjasama itu merupakan kesinambungan kepada perkembangan Glyken dalam pasaran Jepun selepas termeterainya perjanjian pengedaran komersial bersama Japan Bansho Co., Ltd. yang diusahakan oleh Bioeconomy Corporation semasa Ekspo 2025 Osaka pada Mei 2025.
Beliau berkata, kerjasama penyelidikan bernilai lebih RM4 juta itu berpotensi menjana sehingga RM40 juta nilai pengkomersialan menerusi pembangunan produk perubatan terapeutik dan kesejahteraan yang inovatif.
“Melalui gabungan teknologi nanopeptida milik Glyken dengan kepakaran Ortho Group dalam perubatan bersepadu dan pembangunan penjagaan kesihatan, kerjasama ini membuka peluang untuk menangani keperluan kesihatan yang semakin meningkat, khususnya berkaitan peningkatan populasi warga emas di Malaysia dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, hasil penyelidikan tempatan Glyken bersama kepakaran Ortho Group berpotensi menyokong pembangunan penjagaan kesihatan termasuk penambahbaikan rawatan bagi masalah seperti osteoartritis, kecacatan tulang, kecederaan sukan, luka kronik serta penyakit berkaitan otot, tulang dan sendi akibat faktor penuaan.
Mohd Khairul berkata, kerjasama itu turut membuka jalan kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Malaysia-Jepun bagi Perubatan Terapeutik yang diterajui pemain industri, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Malaysia sebagai negara bioinovasi berteknologi tinggi selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0.
Sementara itu, Eric Shak berkata, kerjasama berkenaan merupakan pencapaian penting kepada industri bioteknologi Malaysia, khususnya dalam memajukan inovasi berasaskan sarang burung serta memperluaskan penggunaan teknologi tersebut ke pasaran antarabangsa.
Dr. Hiroyasu Tomo pula berkata, Ortho Group melihat potensi besar dalam bioteknologi berasaskan sarang burung selepas mengadakan lawatan ke fasiliti Glyken dan memahami visi syarikat berkenaan dalam membangunkan teknologi penyelesaian kesihatannya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak berkongsi aspirasi sama untuk meningkatkan jangka hayat sihat, bukan sahaja di Malaysia dan Jepun, malah di peringkat global menerusi pembangunan teknologi kesihatan baharu.
Kerjasama Malaysia-Jepun itu turut menyokong aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 melalui pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan penyelidikan klinikal, pembangunan harta intelek baharu serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang bioteknologi. - DagangNews.com








