KUALA LUMPUR 14 Julai – Gelombang pelaburan besar dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) global terus menjadi pemacu utama pertumbuhan industri semikonduktor tempatan, menurut TA Securities.
Syarikat Malaysia ujar firma itu, namun masih perlu berdepan dengan cabaran ketidaktentuan luar, pengukuhan nilai ringgit dan permintaan yang tidak sekata dalam pasaran elektronik tradisional.
Prospek jangka panjang industri berkenaan jelasnya, adalah kekal kukuh berikutan trend pelaburan berterusan dalam pembangunan pusat data (DC), pengkomputeran awan dan platform AI generasi baharu.
"Pemulihan sektor ini pula dijangka tidak berlaku menyeluruh kerana manfaatnya lebih fokus kepada syarikat yang ada pendedahan langsung kepada AI dan infrastruktur DC," kata TA Securities lagi.
Berdasarkan data, jualan semikonduktor global mencecah AS$120 bilion (RM492 bilion) pada Mei 2026, melonjak 104.1% berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu pertumbuhan bagi 31 bulan berturut-turut.
Prestasi itu ujarnya, dipacu di semua rantau utama dengan benua Amerika mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 132.2%, diikuti Asia Pasifik (118.9%), China (88.8%), Eropah (60.7%) dan Jepun (23.8%).

Dari segi pertumbuhan bulanan tambah TA Securites, perkembangan positif itu mencerminkan permintaan AI yang terus kukuh serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur awan dan DC di seluruh dunia.
"Jualan semikonduktor global diunjur naik melepasi AS$1.9 trilion (RM7.7 trilion) pada 2027, dipacu pelaburan berterusan dalam AI, pengkomputeran dipercepatkan dan infrastruktur digital," jelasnya.
Bagaimanapun, firma itu berpandangan syarikat tempatan yang masih bergantung besar kepada pasaran tradisional seperti komputer peribadi (PC) dan telefon pintar dijangka terus berdepan tekanan.
TA Securities mengingatkan risiko antaranya faktor kenaikan kos memori boleh meningkatkan harga produk, sekali gus menjejaskan permintaan pengguna dan pertumbuhan penghantaran kepada pelanggan.
Sehubungan itu, ia masih mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor semikonduktor dengan DNeX sebagai pilihan utama pada harga sasaran (TP) 66 sen, disokong tinggi produk silikon fotonik.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap Elsoft Research (TP: 27 sen), dan 'pegang' saham Inari Amertron (TP: RM2.32), serta 'jual' untuk Unisem (TP: RM3.45)," tambah firma penyelidikan berkenaan.
Pada masa sama, TA Securities menilai risiko utama sektor termasuk dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), kelemahan jualan, pengukuhan ringgit dan lonjakan harga komoditi. - DagangNews.com








