KPJ Healthcare terus raih permintaan tinggi pesakit, Phillip Capital mulakan liputan saran 'beli' saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare terus raih permintaan tinggi pesakit, Phillip Capital mulakan liputan saran 'beli' saham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Julai – Kekangan kapasiti hospital awam yang berlarutan dan peningkatan permintaan terhadap rawatan berkualiti tinggi dijangka terus memberi kelebihan kepada KPJ Healthcare Berhad.

 

Menurut analisis Phillip Capital, pengendali hospital swasta terbesar negara itu berada pada kedudukan strategik meraih ramai pesakit serta memperkukuh pertumbuhan pendapatan dalam beberapa tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun sektor penjagaan kesihatan swasta berdepan dengan cabaran perubahan dasar kawal selia, namun prospek jangka panjang kumpulan berkenaan dilihat kekal kukuh.

 

"Pengembangan kapasiti hospital, peningkatan kes rawatan kompleks serta pertumbuhan pelancongan perubatan akan menyokong KPJ Healthcare di sebalik persaingan yang kini semakin sengit," jelasnya.

 

Justeru, Phillip Capital memulakan liputan dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.80 sesaham dengan berpandangan penilaian semasa masih belum mencerminkan prospek pertumbuhan penuh.

 

Saham kumpulan itu ujarnya, ketika ini diniagakan 34 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) unjuran 2027, lebih rendah berbanding purata syarikat hospital swasta tersenarai tempatan sebanyak 39 kali.

 

KPJ_DagangNews2026

 

KPJ Healthcare jelasnya, memiliki 30 buah hospital dengan kira-kira 3,900 katil, mewakili lebih 30% bahagian pasaran, dengan menyasarkan peningkatan kapasiti sebanyak 5% lagi menjelang akhir 2026.

 

"Kami mengunjurkan hasil dan keuntungan terasnya masing-masing berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6% dan 8% bagi tempoh 2025 hingga 2028," tambah Phillip Capital.

 

Penilaian ini disokong pertumbuhan jumlah pesakit sekitar 4% setahun serta peningkatan hasil bagi setiap pesakit hingga 5%, dipacu peningkatan populasi warga emas, dan kes penyakit tidak berjangkit (NCD).

 

Selain itu, sumbangan beberapa hospital di bawah KPJ Healthcare meningkatkan keupayaan menawarkan rawatan yang lebih kompleks serta memperkukuh kedudukannya dalam segmen pelancongan perubatan.

 

Phillip Capital berkata, dengan lebih 70% terdiri daripada pesakit dalam, kumpulan itu berada dalam kedudukan baik memanfaatkan peningkatan intensiti rawatan dan apabila kapasiti hospital berkembang.

 

"Kami percaya kedudukan pasaran yang kukuh, rangkaian hospital dan penjagaan kesihatan membolehkannya terus mengekalkan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang," jelasnya. - DagangNews.com