KUALA LUMPUR 14 Julai - Dialog Group Bhd dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk mencatat lantunan harga saham dalam tempoh terdekat, disokong asas perniagaan yang kukuh, pendapatan berulang yang stabil serta potensi pertumbuhan daripada pembangunan hab tenaga di Pengerang, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, penyusutan harga saham baru-baru ini membuka peluang pengumpulan yang menarik kepada pelabur memandangkan prospek jangka sederhana dan panjang Dialog kekal utuh.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan 'Beli' ke atas Dialog dengan harga sasaran (TP) RM2.52, bersandarkan model perniagaan syarikat yang pelbagai, aliran tunai yang konsisten dan daya tahan pendapatan merentasi kitaran industri minyak dan gas.
Menurut HLIB, segmen terminal tangki pertengahan aliran (midstream) Dialog terus menjadi pemacu utama pendapatan berulang syarikat, manakala operasi huluannya dijangka memperoleh manfaat daripada harga minyak mentah Brent yang kekal pada paras yang menggalakkan.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu menjangkakan kepentingan strategik Pengerang sebagai hab penyimpanan dan logistik tenaga serantau akan terus meningkat, sekali gus meletakkan Dialog pada kedudukan yang kukuh untuk meraih peluang pertumbuhan baharu.
Pengerang Dalam Radar New Zealand
HLIB berkata, New Zealand kini sedang menilai pilihan untuk menyimpan stok bahan api di Malaysia dan Singapura selepas ketegangan geopolitik baru-baru ini mendedahkan kelemahan kapasiti penyimpanan domestik negara itu serta risiko kebergantungan kepada satu laluan bekalan.
Menurutnya, perkembangan tersebut dijangka memperkukuhkan lagi peranan Pengerang sebagai hab penyimpanan dan logistik tenaga utama di rantau ini.
"Dialog berada pada kedudukan yang strategik untuk memanfaatkan perkembangan ini memandangkan syarikat memiliki kemudahan terminal tangki berskala besar di Pengerang selain kira-kira 660 ekar tanah rizab yang tersedia untuk pembangunan dan peluasan masa hadapan.
"Keupayaan ini memberikan ruang pertumbuhan jangka panjang yang signifikan apabila permintaan terhadap kemudahan penyimpanan tenaga serantau terus meningkat," katanya dalam nota penyelidikan.
HLIB turut berpandangan penganugerahan kontrak jangka panjang bagi Pengerang Deepwater Terminals Fasa 3 berpotensi menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula saham Dialog.
Katanya, kontrak tersebut bukan sahaja mampu mengembangkan kapasiti terminal syarikat, malah mengukuhkan lagi profil pendapatan berulang serta meningkatkan keterlihatan pendapatan dalam tempoh jangka panjang.
Tekanan Jualan Semakin Reda
Dari sudut teknikal, HLIB berkata tekanan jualan terhadap saham Dialog dilihat semakin reda selepas harga saham membuat pembetulan sebanyak 19.9% kepada RM1.89, susulan kenaikan kukuh sebanyak 53.2% daripada paras terendah tahun ini iaitu RM1.54 kepada paras tertinggi RM2.36.
Firma itu berpandangan fasa pembetulan tersebut telah menjadikan penilaian saham lebih menarik dan berpotensi menarik minat pelabur yang mencari peluang pada harga diskaun.
Sekiranya saham berjaya menembusi paras RM1.95, momentum belian dijangka semakin mengukuh dengan sasaran rintangan seterusnya pada RM2.05, RM2.19 dan RM2.36.
Bagaimanapun, HLIB menetapkan paras sokongan pada RM1.86, RM1.77 dan RM1.73, manakala paras henti rugi (cut-loss) disarankan pada RM1.71. - DagangNews.com








