Pemulihan operasi Tanjung Bin bakal sokong keuntungan Malakoff pada 2H26 - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan operasi Tanjung Bin bakal sokong keuntungan Malakoff pada 2H26 - AmInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 14 Julai – Keuntungan bersih Malakoff Corporation Bhd. dijangka kembali pulih pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26) apabila operasi Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBP) kembali beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2026 (3Q26), sekali gus memperkukuh prestasi segmen penjanaan tenaga syarikat.

 

AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, kumpulan itu berpotensi mencatat keuntungan bersih sekitar RM50 juta hingga RM60 juta pada 2H26 dengan andaian tiada gangguan operasi serta disokong pemulihan operasi di TBP dan Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE).

 

Firma penyelidikan itu berkata, rotor turbin stim TBP yang mengalami kerosakan pada 1Q26 kini sedang menjalani ujian di United Kingdom sebelum dihantar pulang ke Malaysia dari Jerman pada 3Q26.

 

"Kami percaya TBP kini beroperasi pada kira-kira dua pertiga daripada kapasiti penuhnya. TBE pula dijangka kembali beroperasi sepenuhnya pada 2H26 selepas kerja pembaikan tali sawat penghantaran arang batu bagi Laluan A dan B siap sepenuhnya pada awal Julai," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Menurut AmInvest, kira-kira 75% hingga 80% keuntungan bersih Malakoff disumbangkan oleh perniagaan penjualan tenaga elektrik, manakala baki 20% hingga 25% diperoleh daripada segmen pengurusan sisa menerusi anak syarikatnya, Alam Flora, yang mengendalikan perkhidmatan pengurusan sisa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan semua isu operasi yang menjejaskan prestasi Malakoff sebelum ini akan diselesaikan pada separuh kedua tahun ini.

 

Dengan siapnya kerja pembaikan sistem tali sawat, bekalan arang batu ke TBP dan TBE kini boleh dihantar menggunakan sistem penghantar tersebut berbanding kaedah pemindahan melalui laut yang digunakan sebelum ini.

 

Perjanjian Pembelian Tenaga

Sehubungan itu, AmInvest mengunjurkan faktor ketersediaan setara bagi kedua-dua loji akan kembali normal kepada 90% masing-masing pada 2H26 berbanding hanya 37% bagi TBP dan 67% bagi TBE pada 1Q26.

 

Selain pemulihan operasi, pendapatan kapasiti Malakoff juga dijangka meningkat hasil lanjutan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi Loji Janakuasa Prai.

 

PPA loji berkenaan telah dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2026 hingga 31 Mac 2030, dengan loji itu dianggarkan menjana bayaran kapasiti sekitar RM20 juta setiap suku tahun.

 

Sebagai perbandingan, TBP dianggarkan menerima bayaran kapasiti kira-kira RM250 juta setiap suku tahun, manakala TBE sekitar RM160 juta setiap suku tahun.

 

Dalam pada itu, AmInvest berkata, Malakoff turut memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) apabila kapasiti penjanaan tenaga hijau syarikat meningkat kepada 768 megawatt (MW) berbanding 198MW pada awal tahun lalu.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "Pegang" terhadap saham Malakoff dengan harga sasaran 90 sen sesaham.

 

Menurutnya, meskipun prospek operasi dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini, rekod prestasi operasi syarikat yang kurang konsisten masih menjadi faktor yang mengehadkan potensi penarafan semula saham tersebut. - DagangNews.com