Jualan runcit naik 7.2% pada Mei 2026, MBSB Research kekalkan pandangan positif sektor pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan runcit naik 7.2% pada Mei 2026, MBSB Research kekalkan pandangan positif sektor pengguna

Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai – MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pengguna Malaysia susulan permintaan domestik yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos bahan mentah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan penggunaan terus disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, inflasi yang terkawal, bantuan fiskal kerajaan termasuk STR/SARA serta sokongan pendapatan yang membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah.

 

MBSB Research berkata, jualan runcit Malaysia meningkat 7.2% tahun ke tahun (YoY) pada Mei 2026 kepada RM71.90 bilion berbanding RM67.07 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala secara bulanan ia meningkat 1.3% susulan pemulihan semula perbelanjaan pengguna selepas musim perayaan pada April 2026.

 

“Pertumbuhan itu disokong secara meluas oleh segmen utama termasuk pasar raya, pasar raya besar dan kedai serbaneka yang meningkat 8.2% YoY kepada RM28.02 bilion. Segmen makanan dan minuman serta tembakau pula berkembang 7.2% kepada RM4.61 bilion, manakala kedai yang menjual hanya barangan tertentu meningkat 6.7% kepada RM15 bilion dan peralatan isi rumah berkembang 3.4% kepada RM7.97 bilion.

 

“Bagi tempoh lima bulan pertama 2026, perdagangan runcit meningkat 6.9% kepada RM355.11 bilion, dipacu oleh pertumbuhan kedai pelbagai barangan sebanyak 8.2%, makanan dan minuman serta tembakau sebanyak 6.8%, kedai khusus lain sebanyak 6.9% dan peralatan isi rumah sebanyak 3.7%,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Pasaran Buruh Stabil, Inflasi Masih Terkawal

Dari sudut pasaran buruh, keadaan kekal stabil apabila kadar pengangguran tidak berubah pada 3% pada Mei 2026. Jumlah tenaga buruh berada pada 17.34 juta orang, meningkat 0.1% secara bulanan, manakala jumlah pekerjaan meningkat 0.1% kepada 16.83 juta orang.

 

Sementara itu, inflasi kekal terkawal walaupun terdapat sedikit peningkatan. Indeks harga pengguna (CPI) meningkat kepada 1.9% YoY pada April 2026 berbanding 1.7% pada Mac 2026, didorong terutamanya oleh kenaikan kos pengangkutan sebanyak 4.1%. Inflasi makanan dan minuman meningkat kepada 1.2%, manakala inflasi teras berada pada 2.0%, menunjukkan tekanan harga berkaitan permintaan masih terkawal.

 

Tekanan Kos Bahan Mentah Masih Berisiko Kepada Margin

Bagaimanapun, MBSB Research memberi perhatian terhadap tekanan kos input yang masih menjadi risiko kepada margin keuntungan syarikat pengguna. 

 

Firma itu berkata walaupun beberapa harga bahan mentah lebih sederhana secara bulanan pada Jun 2026, sebahagian komoditi masih lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

 

t
Gambar Kamaliza Kamaruddin/DagangNews

 

“Antara bahan mentah yang kekal meningkat ialah resin PET (polietilena tereftalat) yang naik 37.5% YoY, minyak sawit mentah (CPO) meningkat 19.8% dan gandum naik 6.7%. Dalam masa sama, beberapa komoditi lain menunjukkan penurunan tahunan seperti koko yang merosot 46.9%, gula mentah turun 11.3%, kopi Arabica turun 22.8% dan kopi Robusta turun 15%.

 

“Bagi industri ayam, harga telur menunjukkan trend lebih stabil apabila semua gred mencatatkan penurunan secara bulanan pada Mei 2026. Harga telur gred A turun 3.5% secara bulanan kepada RM0.438 sebiji, gred B turun 2.7% kepada RM0.401 sebiji dan gred C turun 1.1% kepada RM0.357 sebiji.

 

“Harga ayam pula meningkat 0.9% secara bulanan kepada RM10.48 sekilogram, namun masih rendah 1.4% berbanding tahun lalu,” kata firma tersebut.

 

Kos makanan ternakan turut menunjukkan sedikit kelegaan apabila harga tepung kacang soya turun 4.8% secara bulanan kepada AS$336 setan metrik, manakala harga jagung susut 7.9% kepada AS$17,532 setan metrik. Namun begitu, kedua-dua bahan itu masih lebih tinggi berbanding tahun lalu masing-masing sebanyak 3.7% dan 1.9%.

 

Dari aspek mata wang, ringgit kekal memberi sokongan kepada syarikat pengguna apabila lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) secara tahunan. Purata kadar USD/MYR pada Jun 2026 berada pada 4.07 berbanding 4.24 setahun sebelumnya, menunjukkan pengukuhan ringgit sebanyak 4.1% YoY. Bagaimanapun, ringgit melemah 3.0% berbanding bulan sebelumnya, sekali gus mengurangkan sedikit manfaat terhadap kos import.

 

Sektor Pengguna Kekal Positif, Fokus Kepada Saham Defensif

MBSB Research berkata, sektor pengguna dijangka terus disokong oleh permintaan terhadap barangan asas, perubahan corak perbelanjaan pengguna yang lebih mengutamakan nilai serta keupayaan sesetengah syarikat untuk mengekalkan harga jualan.

 

Firma itu menyarankan pelabur memberi tumpuan kepada syarikat yang mempunyai pendedahan kepada barangan keperluan, peruncitan bernilai dan pertumbuhan jumlah jualan yang stabil. 

 

Antara pilihan utama ialah 99 Speedmart dengan harga sasaran RM4.37, MR D.I.Y. (RM2.13), Leong Hup International (RM1.07) dan Life Water Sabah (RM1.63).

 

Selain itu, MBSB Research turut melihat AEON, Padini dan beberapa syarikat makanan serta minuman terpilih sebagai penerima manfaat sekiranya keyakinan pengguna kembali meningkat. 

 

Namun, buat masa ini, firma itu kekal mengutamakan saham defensif yang mempunyai permintaan stabil dalam segmen keperluan asas.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research menjangkakan sektor pengguna Malaysia kekal kukuh dalam tempoh akan datang, disokong oleh pekerjaan yang stabil, inflasi terkawal dan sokongan kerajaan, walaupun syarikat masih perlu mengurus tekanan kos bahan mentah, logistik serta operasi. - DagangNews.com