KUALA LUMPUR 14 Julai – Keputusan Velesto Energy Bhd menamatkan penjualan pelantar penggerudian Naga 3 mungkin memberi kesan kecil dalam tempoh terdekat, namun pengekalan aset itu berpotensi membawa manfaat kepada kumpulan dalam jangka panjang, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu menyifatkan perkembangan tersebut sedikit negatif kerana Velesto tidak lagi menerima hasil tunai berjumlah AS$63 juta (RM258.4 juta) daripada cadangan penjualan berkenaan.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan penamatan urus niaga tersebut tidak akan memberi kesan ketara terhadap prestasi kewangan Velesto bagi tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 31 Disember 2026.
“Rancangan asal pelupusan Naga 3 sebelum ini memperuntukkan kira-kira RM251.1 juta daripada hasil jualan untuk tujuan berpotensi seperti agihan kepada pemegang saham, kegunaan korporat am serta keperluan modal kerja.
“Namun, dengan transaksi itu tidak diteruskan, Velesto kehilangan peluang untuk menjadikan hasil jualan tersebut sebagai pemangkin kepada pembayaran dividen khas kepada pemegang saham,” kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.
Sebelum ini, Velesto bercadang menjual Naga 3 kepada syarikat Indonesia, PT Drilling Energy, tetapi urus niaga itu gagal diselesaikan dalam tempoh yang dipersetujui sehingga akhir separuh pertama 2026.
Walaupun penjualan tersebut tidak berjaya dimuktamadkan, CIMB menjangkakan Velesto akan kembali memasarkan Naga 3 bagi mendapatkan kontrak kerja baharu bermula suku keempat 2026.
ARTIKEL BERKAITAN: Velesto tamatkan perjanjian jualan Naga 3 kepada PT Indonesia Drilling Energy
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan untuk mengekalkan pemilikan pelantar berkenaan boleh memberi kelebihan kepada Velesto kerana aset milik sendiri lazimnya menawarkan margin keuntungan lebih baik berbanding penggunaan pelantar daripada pihak ketiga.
Pengekalan Naga 3 juga dijangka membantu meningkatkan potensi pendapatan kumpulan serta mengimbangi sebahagian kesan daripada kegagalan penjualan aset berkenaan.
Susulan perkembangan itu, CIMB menaikkan unjuran pendapatan Velesto bagi tahun kewangan 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 14% dan 13.2%, berdasarkan andaian kadar penggunaan pelantar sebanyak 41.7% serta kadar sewaan harian purata AS$90,000.
CIMB turut mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Velesto dengan harga sasaran sebanyak 35 sen sesaham dan mengekalkan andaian pembayaran dividen sebanyak tiga sen sesaham.
Menurut firma itu, penamatan urus niaga Naga 3 tidak mengubah pandangan positif terhadap prestasi Velesto kerana operasi pelantar tersebut berpotensi mendapat manfaat daripada pemulihan aktiviti huluan (upstream) minyak dan gas tempatan serta serta kemungkinan berlaku kekurangan bekalan pelantar jack-up dalam pasaran.
Bagaimanapun, CIMB mengingatkan beberapa risiko yang boleh menjejaskan prospek sektor itu, termasuk penurunan harga minyak yang lebih rendah daripada jangkaan serta kemasukan lebih banyak pelantar jack-up ke pasaran yang boleh menyebabkan pelaburan baharu dalam aktiviti huluan kurang berdaya maju. - DagangNews.com








