KUALA LUMPUR 14 Julai – Rhone Ma Holdings Berhad berada pada kedudukan kelebihan yang strategik mencatat pertumbuhan mampan berikutan keperluan kukuh terhadap produk kesihatan haiwan.
Menurut Mercury Securities, pengembangan kapasiti pengeluaran dalam projek lembu tenusu berskala besar turut dijangka membuka sumber hasil baharu, meskipun masih berdepan cabaran industri ternakan.
Ujarnya, kekuatan utama syarikat itu terletak pada segmen produk dan peralatan kesihatan haiwan, disokong permintaan berulang daripada industri veterinar, serta memberikan keterlihatan pendapatan tinggi.
"Justeru, kami memberikan nilai saksama (FV) 85 sen sesaham kepada Rhone Ma, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 12.1 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27," katanya.
Mercury Securities menambah, segmen itu menjana RM224 juta atau 83% daripada hasil FY25, sekali gus pemacu utama prestasi susulan permintaan vaksin, farmaseutikal, dan bahan tambahan makanan haiwan.
Selain itu ujarnya, model perniagaan membolehkan kumpulan tersebut mewujudkan pelbagai sumber pendapatan yang saling melengkapi dan mengurangkan kebergantungan kepada satu segmen sahaja.

Peningkatan kapasiti pengeluaran produk kesihatan haiwan sebanyak 200 tan, turut meningkatkan lagi keupayaan Rhone Ma memenuhi permintaan luas pasaran di samping memperkukuhkan kecekapan operasi.
"Penyertaannya dalam projek Jemaluang Dairy Valley (JDV) dijangka menjadi tonggak baharu kerana projek ini memberi pendedahan kepada pengeluaran besar bekalan susu tempatan," kata Mercury Securities.
Oleh itu, keuntungan terasnya diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 14% dari FY26 hingga FY28, dipacu hasil 9% sejajar dengan perkembangan industri kesihatan haiwan global.
Pada masa sama, margin keuntungan Rhone Ma dijangka kukuh sekitar 32%, hasil peningkatan kecekapan operasi, perniagaan tenusu serta permintaan stabil terhadap produk kesihatan haiwan keluarannya.
Tambah Mercury Securities, prospek industri kekal stabil apabila pasaran ubat veterinar dijangka berkembang, disokong peningkatan pemilikan peliharaan, kesedaran kesihatan, dan kemajuan teknologi.
"Kami namun mengingatkan syarikat ini masih berdepan beberapa risiko termasuk pergantungan kepada kitaran industri ternakan, selain persaingan sengit dalam pasaran kesihatan haiwan," jelasnya.
Bagaimanapun, firma itu percaya asas perniagaan yang kukuh, kedudukan tunai bersih serta francais kesihatan haiwan mantap menyokong pertumbuhan jangka panjang Rhone Ma. - DagangNews.com








