KUALA LUMPUR 9 Julai - Penganalisis kini menjangkakan Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah berbanding anggaran sebelum ini selepas Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25% ke atas barangan negara bermula 1 Ogos 2025.
Tindakan itu menyebabkan kerajaan mengurangkan unjuran pertumbuhan negara dengan lebih ketara.
Kebanyakan penganalisis sebelum ini menjangkakan tarif sebanyak 10%, berdasarkan kemas kini mengenai status rundingan perdagangan Putrajaya dengan AS.
Pegawai kerajaan Malaysia sebelum ini menyatakan, mereka akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK antara 4.5% hingga 5.5% sebaik sahaja rundingan perdagangan dengan AS menjadi lebih jelas.
Penganalisis TA Securities, Farid Burhanuddin berkata, pengumuman tarif 25% itu mengejutkan kerana kerajaan Malaysia sebelum ini menunjukkan rundingan perdagangan berjalan dengan baik.
"Jika tarif 25% itu dikuatkuasakan sepenuhnya, ia boleh menurunkan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2025 kepada antara 3.7% dan 4.2%, berbanding unjuran sebelumnya iaitu 4.4% berdasarkan senario tarif 10%," katanya lapor The Edge.
ARTIKEL BERKAITAN: AS kenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos, lebih tinggi daripada tarif asal 24%
Semalam, Rumah Putih secara rasmi memaklumkan kepada Malaysia bahawa tarif 25% akan dikenakan ke atas semua barangan Malaysia bermula 1 Ogos 2025.
Dalam surat bertarikh 7 Julai itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menulis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menjelaskan tarif tersebut bertujuan mengurangkan defisit dagangan AS dengan Malaysia. Surat-surat itu turut dimuat naik di platform Truth Social milik Trump.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, mereka akan terus berunding dengan AS bagi menyelesaikan isu berkenaan, menjelaskan skop tarif dan berusaha mencapai hasil yang saling menguntungkan sebelum tarikh akhir 1 Ogos.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, Malaysia mesti terus berunding dengan AS, walaupun rundingan kelihatan rumit dan tidak menentu.
Beliau berkata, lanjutan situasi semasa adalah mungkin, tetapi berdepan cabaran akibat pelbagai faktor.
AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selama bertahun-tahun, menyumbang 11% daripada jumlah eksport pada tahun 2024.
Walaupun tarif baharu itu menjejaskan daya saing Malaysia, penganalisis berkata, negara ini masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan dasar yang mencukupi.
Penganalisis Kenanga Investment, Wan Suhaimie berkata, dengan KDNK Malaysia masih melebihi 4%, perniagaan harus memberi lebih tumpuan kepada pasaran domestik, dan bukan hanya kepada eksport.
Beliau berkata, walaupun tarif 25% ini lebih tinggi daripada tarif Vietnam sebanyak 20%, ia masih lebih rendah berbanding Thailand (36%) dan Indonesia (32%), namun ia tetap boleh mengurangkan kelebihan Malaysia dalam menarik pemindahan perniagaan serantau. - DagangNews.com








