Malaysia berdepan risiko kenaikan harga ubat, kekurangan stok susulan krisis geopolitik — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia berdepan risiko kenaikan harga ubat, kekurangan stok susulan krisis geopolitik — MBSB Research

Foto kredit Unsplash+
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 April — Krisis geopolitik mencetuskan ancaman ke atas sektor farmaseutikal di pasaran tempatan apabila harga ubat dilaporkan sudah melonjak sehingga 40%, menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi serius itu sekali gus menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pengguna terhadap kesinambungan bekalan ubat di negara ini untuk jangka pendek.


Walaupun Malaysia tidak bergantung secara langsung kepada laluan Selat Hormuz bagi import ubat siap, kesan rantaian memberi tekanan besar kepada kos bahan mentah aktif farmaseutikal (API).


“Jika konflik berlanjutan lebih enam bulan, industri tempatan berisiko berdepan kenaikan kos 50%, dan menghakis penjimatan sekitar RM1 bilion diperoleh daripada penggunaan ubat generik,” katanya.


Tambah MBSB Research dalam nota analisis itu, sebahagian besar input yang berasaskan petroleum digunakan dalam pengeluaran ubat, dan Malaysia ketika ini masih bergantung kepada import ubat.


Berdasarkan data ujarnya, nilai import mencecah RM12.1 bilion pada 2025 berbanding eksport hanya sebanyak RM3.1 bilion, sekali gus mengekalkan status sebagai pengimport bersih farmaseutikal.


Situasi semakin kritikal apabila hospital awam dilaporkan hanya menerima 20% daripada tempahan ubat susulan kekurangan bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global sejak awal Mac 2026.


"Sektor swasta masih stabil kerana ada fleksibiliti bajet, namun sektor awam berdepan tekanan ketara berikutan kontrak harga tetap menyukarkan pembekal menyerap kenaikan," kata MBSB Research.


Selain itu ujar firma penyelidikan berkenaan, terdapat risiko pembekal menggunakan klausa 'force majeure' untuk merunding semula kontrak atau menghentikan bekalan sekiranya kos terus meningkat.

 

Artikel berkaitan: Bekalan ubat di Malaysia cukup 2 hingga 3 bulan, kata Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia


Pada masa sama, tindakan hospital menempah awal bagi mengelak kekurangan dijangka menyusutkan stok penampan nasional yang ketika ini dianggarkan hanya mampu bertahan selama tempoh lima bulan lagi.


Bagi menangani situasi ini kata MBSB Research, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan kaedah 'Special Access Pathway' (SAP) bagi mempercepatkan penggunaan ubat yang belum berdaftar.


"Ia juga memperkenalkan pengagihan secara berhemat, namun kami memberi amaran yang langkah jangka pendek ini tidak wajar terlalu lama kerana boleh mencetuskan beberapa risiko baharu," tambahnya.


Ini jelas firma itu, termasuk kesilapan penggantian ubat, pertikaian undang-undang dengan pembekal serta peningkatan beban terhadap hospital awam akibat peralihan pesakit dari sektor swasta.


Dalam jangka panjang kata MBSB Research, kerajaan melalui inisiatif MyMedSecure dilihat mengambil pendekatan mengurangkan kebergantungan import, serta memperkukuh pengeluaran API tempatan.


Langkah ini tambahnya, termasuk memperluaskan kapasiti pengeluaran tempatan, mempelbagaikan rakan dagang dan mewajibkan pelaporan awal potensi kekurangan bekalan menjelang separuh kedua 2026.


"Sehubungan itu, kami mengekalkan penarafan 'positif' terhadap sektor penjagaan kesihatan dengan memilih Pharmaniaga Berhad sebagai saham pilihan utama perlu diberi perhatian pelabur," katanya.


Firma itu menyifatkan syarikat sebagai 'penyerap kejutan' industri berikutan peranannya memastikan bekalan ubat negara melalui konsesi panjang selama 10 tahun sehingga 2033, termasuk stok penampan.


Bagaimanapun ujar MBSB Research, syarikat pengeluar farmaseutikal tersebut masih lagi berdepan dengan cabaran tekanan kos susulan lonjakan harga API dan kekangan kontrak yang berharga tetap.


Peralihan Pharmaniaga ke arah vaksin dan insulin, namun dijangka menjadi pemacu pertumbuhan baharu yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada import dalam jangka panjang. - DagangNews.com