KUALA LUMPUR 8 April — Ketidaktentuan geopolitik antarabangsa yang mendorong kenaikan kos bahan mentah dan logistik mula memberi tekanan ketara kepada industri farmaseutikal tempatan sendiri.
Bagaimanapun menurut Pertubuhan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) kepada The Star, bekalan ubat di Malaysia adalah kekal stabil dengan stok penampan boleh bertahan antara dua hingga tiga bulan.
Syarikat farmaseutikal negara ini secara purata memiliki stok bahan aktif farmaseutikal (API) dan eksipien untuk tempoh kira-kira tiga bulan, manakala produk siap diunjur mencukupi bagi sekitar dua bulan.
“Setakat ini tiada gangguan bekalan atau kekurangan ketara dilaporkan, namun terdapat petanda awal kenaikan harga API, bahan pembungkusan plastik serta kos minyak diesel dan logistik,” katanya.
Tambah MOPI, walaupun bekalan ubat penting buatan tempatan masih terjamin dalam jangka masa yang terdekat, industri tersebut dilihat meletakkan kebergantungan tinggi terhadap bahan mentah import.
Situasi itu terdedah kepada gangguan rantaian bekalan global jika konflik berlarutan, meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menyatakan bekalan ubat di negara ini adalah terkawal.
Jaminan tersebut melibatkan stok di fasiliti kementerian berkenaan yang mampu bertahan antara satu hingga tiga bulan, dan disokong faktor penampan tambahan sehingga dua bulan di peringkat konsesi.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pembekal Farmaseutikal Malaysia (MAPS), Lim Teng Chyuan berkata rantaian stok masih pelbagai dengan import dari lebih 40 negara termasuk India dan Korea Selatan.
Beliau namun memberi amaran mengenai kos penghantaran meningkat kira-kira 20%, malah ada mencecah sehingga 70% bagi logistik rantaian sejuk, selain kenaikan kos operasi akibat harga bahan api.
“Risiko utama ketika ini termasuk kemungkinan negara sumber mengehadkan eksport bagi melindungi bekalan domestik mereka sendiri, yang boleh memberi kesan besar kepada bekalan ubat,” katanya.
Bagi menangani situasi itu ujarnya, ahli-ahli MAPS digesa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk meningkatkan inventori, merancang pembelian awal serta memperkukuhkan koordinasi dengan pihak KKM.
Selain itu tambahnya, pemantauan stok ubat penting, kepelbagaian sumber bahan mentah dan keutamaan bekalan untuk pasaran tempatan turut diberi penekanan bagi memastikan kesinambungan inventori.
Kerajaan juga dijangka mengadakan perbincangan bersama-sama pihak berkepentingan, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi meneliti langkah susulan. - DagangNews.com








