MAINJ sumbang RM5 juta zakat bantu pesakit jantung rakyat Johor di IJN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAINJ sumbang RM5 juta zakat bantu pesakit jantung rakyat Johor di IJN

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 Nov - Institut Jantung Negara (IJN) menerima sumbangan zakat berjumlah RM5 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi membantu pesakit asnaf dari Johor yang memerlukan rawatan jantung.

 

Sumbangan tersebut, yang diumumkan semasa Majlis Pelancaran Program Barakah Zakat 2025 anjuran MAINJ di Johor Bahru, akan disalurkan sepanjang tempoh lima tahun dari 2025 hingga 2029.

 

Dana itu akan digunakan untuk menampung kos rawatan pesakit yang layak termasuk pembedahan, peranti kardiak, ubat-ubatan serta rawatan susulan.

 

Sumbangan itu diterima bagi pihak IJN oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Akmal Arief Mohd Fauzi.

 

Kerjasama antara MAINJ dan IJN yang bermula sejak 2017 kini memasuki tahun kelapan. Jumlah keseluruhan sumbangan telah melebihi RM6 juta setakat ini, memberi manfaat kepada lebih 1,100 pesakit dari Johor. Bagi tahun 2025 sahaja, lebih RM1 juta diperuntukkan untuk membantu rawatan 120 pesakit.

 

Pesakit yang layak menerima bantuan dikenal pasti di bawah kategori asnaf melalui Unit Perkhidmatan Kewangan Pesakit IJN dengan kerjasama MAINJ.

 

Pegawai IJN turut dilatih dan diiktiraf sebagai penilai zakat bertauliah, memastikan dana diagihkan secara cekap dan telus. Program ini meliputi kos rawatan hospital, prosedur pembedahan, peranti kardiak penting seperti sten dan alat perentak jantung, ubat-ubatan serta penjagaan selepas pembedahan.

 

“Komitmen baharu ini akan memastikan tiada pesakit dinafikan rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa disebabkan kekangan kewangan,” kata Dato’ Akmal Arief Mohd Fauzi.

 

Menurut beliau, mekanisme yang digunakan membolehkan proses pengesahan dan dokumentasi dilakukan dengan tepat, sekali gus memastikan pengagihan dana zakat kepada mereka yang memerlukan dapat dijalankan dengan segera.

 

Bantuan zakat kesihatan MAINJ mencerminkan misinya untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat Islam Johor, dengan memastikan akses saksama kepada rawatan kesihatan yang berkualiti. Selain IJN, majlis itu turut menyalurkan dana bagi pembelian peralatan perubatan dan subsidi rawatan di hospital-hospital seluruh Johor.

 

Kerjasama MAINJ–IJN ini menunjukkan keberkesanan inisiatif bersama antara institusi kesihatan nasional dan pihak berkuasa zakat negeri dalam mengurangkan halangan kewangan untuk mendapatkan rawatan.

 

Ia juga membuktikan bagaimana program zakat yang terancang dapat menyumbang secara langsung kepada peningkatan tahap kesihatan awam dan akses rawatan yang lebih adil. - DagangNews.com