Mahkamah Tinggi perintahkan Ahmad Zubir, 4 bekas eksekutif kanan Sime Darby bayar jutaan ringgit akibat kerugian dalam bahagian tenaga dan utiliti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi perintahkan Ahmad Zubir, 4 bekas eksekutif kanan Sime Darby bayar jutaan ringgit akibat kerugian dalam bahagian tenaga dan utiliti

KUALA LUMPUR 14 Julai - Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid dan empat bekas eksekutif kanan syarikat itu untuk secara bersama dan berasingan membayar 67.811 juta riyal Qatar, AS$2.049 juta, dan RM1.725 juta kepada Sime Darby dan empat anak syarikatnya.

 

Jumlah tersebut perlu dibayar sebagai pemulangan bagi bayaran yang dibuat secara salah kepada perunding dalam Projek Petroleum Qatar.

 

Selain Ahmad Zubir, empat lagi bekas eksekutif kanan yang dinamakan sebagai defendan dan turut diarahkan untuk membayar jumlah tersebut secara bersama atau berasingan ialah bekas Naib Presiden Eksekutif bahagian Tenaga dan Utiliti (E&U) kumpulan, Datuk Mohamad Shukri Baharom; bekas Ketua Pegawai Kewangan bahagian E&U kumpulan, Abdul Rahim Ismail; bekas ketua unit perniagaan minyak dan gas bahagian E&U, Abdul Kadir Alias; dan bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd, Mohd Zaki Othman.

 

 

 

 

 

 

Selain itu, mereka juga diperintahkan untuk membayar jumlah tambahan sebagaimana yang diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Atan Mustaffa Yussof Ahmad, atas pengakuan berhubung liabiliti terhadap bayaran perunding dan kerugian berkaitan melibatkan Projek Maersk Oil Qatar dan Projek Marin berkaitan pembelian tiga buah kapal hampir 20 tahun lalu.

 

Tindakan itu telah dibawa terhadap mereka oleh Sime Darby dan anak-anak syarikatnya, iaitu Sime Darby Engineering, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd, dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Pte Ltd.

 

Selain jumlah yang telah disebutkan sebelum ini, Ahmad Zubair juga diarahkan untuk membayar secara bersama atau berasingan sebanyak AS$27.176 juta, AS$33.132 juta, dan S$281,331.11.

 

Shukri pula diarahkan untuk membayar secara bersama atau berasingan sebanyak RM6.21 juta, serta AS$27.176 juta, AS$33.132 juta, dan S$281,333.11, sebagai tambahan kepada jumlah yang telah disebutkan sebelum ini.

 

Sementara itu, Abdul Rahim, Abdul Kadir dan Mohd Zaki dikehendaki membayar secara bersama dan berasingan sebanyak RM6.21 juta dan AS$27.176 juta, sebagai tambahan kepada jumlah yang telah ditetapkan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi.

 

Sime Darby dan anak-anak syarikatnya telah memfailkan saman tersebut pada 2010 bagi mendapatkan pampasan susulan kerugian yang ditanggung dalam tiga projek di bawah bahagian Tenaga dan Utiliti (E&U) yang mengalami lebihan kos yang besar.

 

Tiga projek tersebut ialah Projek Petroleum Qatar, Projek Maersk Oil Qatar, dan Projek Marin yang berkaitan dengan pembinaan kapal laut.

 

Hakim Atan Mustaffa dalam penghakimannya berkata, prosiding penilaian bagi keputusan pada hari ini berpunca daripada penghakiman persetujuan interlokutori pada 13 Jun 2014, di mana kelima-lima defendan telah membuat pengakuan mengenai liabiliti berkaitan bayaran kepada perunding dan kerugian yang berkaitan melibatkan pelbagai projek minyak dan gas.

 

“Oleh itu, isu yang dibentangkan di hadapan mahkamah ini adalah berkaitan dengan kuantum ganti rugi yang timbul daripada pengakuan tersebut.

 

“Prosiding penilaian ini berlaku dalam keadaan yang membezakan kes ini daripada prosiding penilaian biasa yang dijalankan selepas perbicaraan. 

 

"Defendan melalui penghakiman persetujuan tersebut, telah membuat pengakuan yang melangkaui sekadar pengiktirafan liabiliti, sekali gus mewujudkan landskap undang-undang yang mempengaruhi sifat dan skop prosiding penilaian di hadapan mahkamah ini,” katanya dalam prosiding secara dalam talian, lapor The Edge.

 

Hakim tersebut berkata, pengakuan defendan bukan sahaja melibatkan kuantum tuntutan yang dibuat syarikat-syarikat tersebut tetapi merangkumi asas fakta yang mendasari kewujudan liabiliti.

 

“Pengakuan menyeluruh ini merangkumi fakta asas yang membawa kepada tuntutan, pelanggaran tanggungjawab oleh defendan, perbuatan salah yang dihujahkan secara khusus, serta akibat yang timbul daripadanya.

 

“Pengakuan terhadap liabiliti berhubung ‘bayaran salah’ kepada perunding membawa implikasi undang-undang yang mendalam. 

 

"Apabila seseorang defendan mengakui bahawa bayaran tersebut telah dibuat secara ‘salah’, ini bermakna defendan mengakui bahawa bayaran itu tidak sepatutnya dibuat dan mempunyai kaitan secara langsung dengan pelanggaran tanggungjawab oleh defendan,” kata Atan Mustaffa.

 

Berikutan penghakiman persetujuan yang merupakan satu bentuk pengakuan, hakim menyatakan, beban pembuktian plaintif kini hanya tertumpu kepada menetapkan jumlah kerugian yang dituntut.

 

Beliau berkata, seperti yang diputuskan oleh mahkamah ketika menolak permohonan penemuan dokumen: “Memandangkan terdapat pengakuan terhadap liabiliti, satu-satunya isu yang perlu ditentukan ialah sama ada syarikat-syarikat atau plaintif boleh membuktikan jumlah kerugian seperti yang dituntut.

 

“Plaintif tidak perlu membuktikan kaitan sebab-akibat dalam erti kata tradisional, kerana hubungan kausal antara perbuatan salah defendan dan kerugian telah dibuktikan secara muktamad melalui pengakuan tersebut. Begitu juga, isu berkenaan keterjauan dan mitigasi tidak boleh dibangkitkan untuk mencabar jumlah tuntutan apabila defendan telah mengakui sifat salah bagi bayaran tertentu,” katanya. - DagangNews.com