KUALA LUMPUR 30 Jun — Selepas hampir tiga dekad terbiar, pengaktifan semula Segamat Inland Port (SIP) membuka lembaran baharu kepada pembangunan pesat logistik dan perindustrian di utara Johor.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpandangan perkembangan itu berpotensi meningkatkan nilai hartanah, dengan IOI Properties Group Berhad muncul sebagai antara penerima manfaat yang terbesar.
Firma penyelidikan tersebut berkata, SIP yang dibangunkan pada 1997 sebelum ini tidak pernah mencapai objektif asalnya sebagai hab pengumpulan dan penyatuan kargo bagi pengilang di kawasan berkenaan.
"Ini menyebabkan potensinya tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan pengoperasian semula pelabuhan itu dijangka mengubah kaedah pengangkutan kargo daripada hanya lori kepada rangkaian rel," jelasnya.
Ujar HLIB, pendekatan itu dijangka meningkatkan kecekapan logistik, mengurangkan kos pengangkutan darat serta jumlah kenderaan berat di jalan raya, dengan operasi SIP bermula secara berperingkat.
Langkah ini tambahnya, turut memanfaatkan sepenuhnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) yang siap pada Disember 2025, bagi menyokong pergerakan penumpang dan kargo komersial.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur rel yang lebih cekap dijangka meningkatkan lagi daya tarikan Segamat sebagai lokasi pembangunan perindustrian baharu selain menyokong kenaikan nilai tanah.
Artikel berkaitan: Segamat Inland Port diaktifkan semula sebagai hab logistik untuk utara Johor dengan tiga negeri

"Perkembangan positif ini akan memberi kelebihan kepada IOI Properties yang merupakan antara pemilik tanah paling besar di Segamat dengan pegangan berkeluasan 486 hektar," kata HLIB dalam analisisnya.
Jelas firma penyelidikan tersebut, Bandar IOI Segamat milik syarikat pemaju hartanah berkenaan sendiri terletak hanya jauh sekitar 6.7 kilometer dari Stesen EDTP Segamat dan cuma 6.8 kilometer dari SIP.
Tanah di Segamat merupakan aset bukan teras kepada kumpulan itu dan nilainya berkemungkinan belum diambil kira sepenuhnya dalam anggaran nilai aset bersih dinilai semula (RNAV) oleh penganalisis.
Pada masa ini ujar HLIB lagi, IOI Properties sedang memasarkan tanah tersebut kepada pelbagai pemain industri yang dilihat sebagai berpotensi membangunkan projek perindustrian jangka panjang.
"Dengan peningkatan kesalinghubungan logistik dan lokasi Segamat sebagai alternatif kos rendah berbanding selatan Johor, kami menjangka minat tinggi pelabur ke atas tanah kumpulan ini," katanya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak mengeluarkan saranan pelaburan atau harga sasaran (TP) terhadap saham berkenaan buat masa ini kerana ada melibatkan beberapa isu korporat tertentu. - DagangNews.com








