Kim Loong yakin capai sasaran pengeluaran tandan buah segar FY27 meskipun prestasi suku pertama di bawah jangkaan - TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kim Loong yakin capai sasaran pengeluaran tandan buah segar FY27 meskipun prestasi suku pertama di bawah jangkaan - TA Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kim Loong Resources Bhd (Kim Loong) mengekalkan sasaran pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (FFB) sebanyak 5% bagi FY27, meskipun prestasi pengeluaran pada suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) berada di bawah jangkaan.

 

TA Research berkata, sasaran itu masih boleh dicapai dengan sokongan profil usia pokok sawit yang semakin matang dan produktif, selain pelaksanaan program penanaman semula yang berterusan.

 

Menurutnya, kumpulan merancang menanam semula kira-kira 700 hektar ladang sepanjang FY27, dengan 260 hektar telah berjaya disiapkan pada 1QFY27.

 

"Selain meningkatkan produktiviti ladang, syarikat turut menyasarkan kapasiti pemprosesan optimum sebanyak 1.6 juta tan FFB bagi FY27.

 

"Pihak pengurusan juga menjangkakan purata harga minyak sawit mentah (CPO) kekal dalam lingkungan RM4,000 hingga RM4,500 setan, disokong keadaan pasaran semasa," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek harga CPO dijangka terus mendapat sokongan daripada pelaksanaan mandat biodiesel Indonesia, khususnya program B50, yang berpotensi meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit di negara itu.

 

Katanya, walaupun ketegangan geopolitik global semakin reda sehingga mengurangkan tekanan kenaikan harga minyak mentah baru-baru ini, ketidaktentuan berkaitan dasar eksport minyak sawit Indonesia dijangka terus mempengaruhi bekalan global.

 

"Situasi itu dijangka mengurangkan bekalan eksport sekali gus meningkatkan turun naik pasaran dan terus menyokong harga CPO.

 

"Kami kekal positif terhadap prospek sektor perladangan memandangkan faktor penawaran dan permintaan masih memihak kepada industri," katanya.

 

Sehubungan itu, TA Research mengekalkan saranan "BELI" terhadap saham Kim Loong dengan harga sasaran (TP) RM2.82 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 16 kali bagi CY27- DagangNews.com