DNeX berpeluang capai fasa pertumbuhan baharu disokong SilTerra dan Ping Petroleum – CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX berpeluang capai fasa pertumbuhan baharu disokong SilTerra dan Ping Petroleum – CIMB Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dijangka berada pada landasan pemulihan pendapatan serta berpotensi mencatat penilaian semula harga saham disokong oleh dua pemangkin utama iaitu sektor semikonduktor dan tenaga, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

 

Firma penyelidikan itu berkata prospek kumpulan itu semakin kukuh dengan kemajuan ketara dalam anak syarikat semikonduktor, SilTerra yang kini memanfaatkan permintaan tinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

SilTerra dilihat sedang beralih secara agresif kepada produk teknologi baharu atau emerging technology (ET), khususnya dalam bidang ‘silicon photonics’ iaitu teknologi yang digunakan dalam pusat data dan aplikasi AI berprestasi tinggi.

 

Menurut CIMB Securities, peralihan ini menjadi titik perubahan penting apabila produk ET menyumbang lebih 50 peratus kepada hasil SilTerra pada suku pertama tahun kewangan 2026 (FY2026).

 

“Pencapaian itu menunjukkan perubahan struktur perniagaan fab semikonduktor tersebut ke arah produk bernilai tinggi dengan margin keuntungan yang lebih kukuh berbanding produk lama.

 

“Dari segi harga, ‘wafer silicon photonics’ mencatat harga jualan purata (ASP) sekitar AS$3,500 hingga AS$4,000 seunit, jauh lebih tinggi berbanding AS$400 hingga AS$500 bagi produk legasi,” kata CIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

t

 

SilTerra juga sedang dalam proses menggandakan kapasiti pengeluaran wafer silicon photonics daripada 12,000 unit kepada 24,000 unit menjelang akhir 2026 sebelum berpotensi menggandakan kapasiti itu sekali lagi dalam tempoh dua tahun berikutnya.

 

Perkembangan ini dilihat penting kerana peningkatan kapasiti tersebut akan menyokong pertumbuhan hasil jangka panjang dalam segmen semikonduktor DNeX.

 

Selain semikonduktor, segmen tenaga turut menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan melalui operasi Ping Petroleum yang semakin aktif dalam portfolio minyak dan gas di Malaysia.

 

Ping Petroleum kini memberi tumpuan kepada beberapa blok perjanjian perkongsian pengeluaran (PSC) termasuk Abu, Beta, Meranti dan kluster A.

 

Menurut CIMB Securities, kluster Abu dikenal pasti sebagai pemangkin terdekat dengan sasaran pengeluaran minyak pertama dijangka bermula pada suku keempat 2026.

 

Jika berjaya dilaksanakan, projek tersebut dijangka meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi pengembangan portfolio huluan minyak dan gas DNeX di Malaysia.

 

t

 

Dari sudut prestasi kewangan, DNeX mencatat struktur hasil bagi tahun kewangan 2025 dengan 61.4 peratus daripada semikonduktor, 23.1 peratus daripada tenaga dan 15.5 peratus daripada segmen teknologi maklumat (IT).

 

Segmen IT pula dilihat memberi sumbangan pendapatan berulang yang membantu menstabilkan aliran pendapatan keseluruhan kumpulan.

 

Dari aspek penilaian, saham DNeX kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan sekitar 12.5 kali bagi tahun kalendar 2027, jauh lebih rendah berbanding syarikat semikonduktor Malaysia lain seperti syarikat peralatan ujian automatik serta syarikat pemasangan dan pengujian semikonduktor luar yang masing-masing berada pada sekitar 37.7 hingga 39.2 kali.

 

Ini menunjukkan DNeX berada pada diskaun penilaian sekitar 67 hingga 68 peratus berbanding kumpulan rakan industri, sekali gus membuka ruang kepada potensi kenaikan semula penilaian pasaran.

 

CIMB Securities berpendapat pasaran masih belum sepenuhnya mengambil kira potensi sebenar SilTerra serta pertumbuhan portfolio minyak dan gas Ping Petroleum di Malaysia. Selain itu, sumbangan berulang daripada segmen IT juga dilihat belum diberikan penilaian sewajarnya oleh pasaran semasa.

 

Secara keseluruhan, gabungan pemangkin dalam semikonduktor berasaskan AI, pengembangan tenaga huluan, serta penilaian saham yang rendah dilihat berpotensi menjadi asas kepada fasa pemulihan dan penilaian semula harga saham DNeX pada masa akan datang. - DagangNews.com