Liftech mulakan dagangan di Pasaran ACE pada 27.5 sen, lebih rendah daripada harga IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Liftech mulakan dagangan di Pasaran ACE pada 27.5 sen, lebih rendah daripada harga IPO

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Liftech Group Bhd memulakan dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan prestasi lemah apabila harga sahamnya dibuka lebih rendah pada 27.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 29 sen sesaham.

 

Sejurus mula diniagakan, saham syarikat pengeluar kren itu terus susut dan sempat jatuh ke paras terendah 26.5 sen sebelum kembali stabil pada 27.5 sen.

 

Prestasi lemah pada hari pertama itu berlaku meskipun IPO syarikat tersebut mencatat lebihan langganan tinggi kira-kira 19 kali dalam kalangan pelabur runcit sebelum penyenaraian.

 

Bagaimanapun, sentimen pasaran yang lebih berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah dilihat menjejaskan momentum belian terhadap saham baharu tersebut.

 

Pada tahap harga terakhir dagangan awal, syarikat itu dianggarkan memiliki permodalan pasaran sekitar RM87 juta.

 

Liftech Group Bhd terlibat dalam pembuatan peralatan pengendalian industri seperti kren besar yang bergerak di atas landasan, kren gantri serta alat pengangkat barang untuk kegunaan pelbagai sektor industri.

 

Selain pembuatan, syarikat tersebut turut menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan serta pembaikan, selain aktiviti perdagangan komponen kren dan peralatan berkaitan.

 

Melalui IPO tersebut, Liftech berjaya mengumpul dana kira-kira RM23 juta yang akan digunakan bagi beberapa tujuan utama termasuk pembayaran balik pinjaman bank.

 

Sebahagian besar dana berkenaan digunakan untuk mengurangkan pinjaman yang diambil bagi pembelian fasiliti operasi di Pulau Pinang dan Sabah.

 

Baki dana pula akan digunakan untuk pembelian peralatan baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada, modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

 

Dalam transaksi berasingan, Pengarah Urusan Liftech, Ng Sea Kai dan Pengarah Eksekutif Eng Peng Hong masing-masing memperoleh RM4.58 juta melalui tawaran jualan saham sedia ada.

 

M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan bagi penyenaraian IPO syarikat berkenaan. - DagangNews.com