KUALA LUMPUR 30 Jun - Industri pengurusan dana tempatan dijangka melepasi paras AS$300 bilion dari segi aset di bawah pengurusan (AUM) dalam tempoh separuh kedua tahun ini sehingga 2027, disokong kecairan domestik yang kukuh serta pelbagai inisiatif kerajaan.
Fitch Ratings berkata industri berkenaan terus berkembang pesat dengan sokongan insentif dasar, pengukuhan ringgit, peluasan saluran pengedaran serta kepelbagaian produk pelaburan.
Menurut agensi penarafan itu, jumlah AUM industri di Malaysia dianggarkan mencecah kira-kira 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir suku pertama 2026 (1Q26), meningkat 9.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.1 trilion.
“Kenaikan ini didorong oleh peningkatan penilaian aset, aliran jualan bersih yang lebih tinggi serta pengukuhan ringgit,” katanya.
Fitch berkata struktur pelaburan industri kekal tertumpu kepada ekuiti dengan pegangan sebanyak 47.4%, diikuti sekuriti pendapatan tetap 22.9% dan pelaburan pasaran wang 14.5%.
Prestasi pasaran turut disokong oleh keadaan ekuiti yang stabil, apabila penanda aras FBM KLCI meningkat sekitar 11% tahun ke tahun pada akhir Mei, manakala hasil bon kerajaan kekal stabil.
Dana Islam Pantas Berkembang
Dari segi struktur dana, Fitch berkata Malaysia kekal antara pasaran terbesar dana Islam di peringkat global, dengan dana Islam mencatat pertumbuhan lebih pantas berbanding dana konvensional.
Dana Islam meningkat kepada 23.9% daripada jumlah AUM industri pada akhir 1Q26, dengan pertumbuhan 19.5% YoY, berbanding hanya 6.8% bagi dana konvensional.
“Dana Islam merangkumi kira-kira 40% daripada jumlah dana yang ditawarkan, menunjukkan kepelbagaian produk patuh Syariah yang semakin meluas,” katanya.
Fitch turut menjelaskan sekitar 60% pasaran modal hutang Malaysia kini berada dalam bentuk sukuk, mengukuhkan kedudukan negara sebagai pusat kewangan Islam utama.
Bagaimanapun, industri masih menunjukkan tahap penumpuan tinggi apabila lima syarikat pengurusan dana terbesar menguasai lebih separuh daripada jumlah AUM pada tahun lalu.
Dari segi struktur pemilikan aset, AUM domestik masih mendominasi, manakala aset asing merangkumi 34% pada 1Q26. Dana unit amanah pula kekal penyumbang terbesar dengan 50.7%, diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (19.9%) dan badan korporat (11%) pada 2025.
Fitch berkata penyertaan dana asing masih kecil pada 2.7%, namun terdapat potensi peningkatan memandangkan pelabur asing merangkumi 43% aktiviti dagangan ekuiti Malaysia pada 2025 serta memegang 21.6% sekuriti kerajaan pada 1Q26.
Dalam pada itu, kerajaan terus menyokong pertumbuhan industri melalui pelbagai inisiatif termasuk pengecualian cukai oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi dana Islam serta dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) sehingga tahun taksiran 2027. - DagangNews.com








