Terengganu International Bike Week 2026 rangsang ekonomi tempatan, jadi hab pelancongan permotoran serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu International Bike Week 2026 rangsang ekonomi tempatan, jadi hab pelancongan permotoran serantau

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 30 Jun – Terengganu sekali lagi mencuri tumpuan antarabangsa apabila Terengganu International Bike Week (TIBW) 2026 berjaya menarik penyertaan lebih 100,000 komuniti penunggang motosikal dari beberapa negara serta menjadi antara acara pelancongan permotoran terbesar di Pantai Timur.

 

Sepanjang lima hari penganjurannya di Dataran Shahbandar, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk festival kopi, pameran gaya hidup dan permotoran, persembahan kebudayaan, tarian perang, pertunjukan aksi lagak ngeri oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), demonstrasi bot amfibia, serta malam hiburan yang menampilkan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Black Hanifah, Apex Tajudin dan Bito, selain sesi ceramah oleh Ustaz Azhar Idrus yang menarik pelbagai lapisan pengunjung.

 

Acara ini bukan sekadar perhimpunan komuniti motosikal, sebaliknya menjadi platform penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi tempatan melibatkan sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di sekitar Kuala Terengganu.

 

Penganjuran edisi ke-13 ini dilihat selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama ekonomi Terengganu, selain memperluaskan promosi ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan komuniti penunggang motosikal (bikers) dari beberapa negara.

 

t

 

 

t

Sepanjang tempoh program, TIBW 2026 memberi limpahan ekonomi ketara kepada penggiat industri pelancongan tempatan termasuk hotel, inap desa (homestay), restoran dan pengusaha produk pelancongan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, TIBW bukan sahaja menjadi acara gaya hidup permotoran tetapi turut berperanan sebagai medium promosi tidak langsung yang sangat berkesan kepada negeri itu.


“Komuniti penunggang motosikal antarabangsa berperanan sebagai “duta pelancongan bergerak” yang membantu memperkenalkan keindahan Terengganu melalui perkongsian digital dan pengalaman perjalanan mereka.

 

“Setiap gambar, video dan cerita yang dikongsi oleh peserta akan memberi kesan promosi berpanjangan kepada Terengganu, khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027 dan kempen jenama ‘Truly Terengganu’,” katanya semasa Majlis Makan Malam Gala dan Perasmian Penutupan TIBW 2026, baru-baru ini.

 

Tambah beliau, kehadiran peserta antarabangsa dari Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia dan Amerika Syarikat membuktikan Terengganu semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti permotoran global, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan ketibaan pelancong asing pada masa hadapan.

 

t

 

Selain impak ekonomi langsung, TIBW 2026 turut memperkukuh rantaian ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan kecil yang memanfaatkan peluang jualan sepanjang acara berlangsung, termasuk dalam segmen makanan, minuman dan cenderamata.

 

Penganjuran itu turut menawarkan cabutan bertuah bernilai lebih RM300,000 termasuk hadiah utama seperti Toyota Alphard, Perodua Bezza, skuter elektrik serta pelbagai hadiah wang tunai dan pakej eksklusif malam gala serta malam akustik.

 

Dalam pada itu, kerajaan negeri menekankan aspek keselamatan kepada semua peserta dan pengunjung, khususnya komuniti penunggang motosikal, agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya sepanjang berada di Terengganu.

 

Kerajaan negeri juga optimis bahawa penganjuran TIBW akan terus diperkasa pada tahun-tahun akan datang sebagai salah satu produk pelancongan utama negeri yang mampu menjana impak ekonomi lebih besar dan berterusan.

 

Dengan keindahan laluan pantai dari Besut hingga Kemaman serta tarikan makanan dan budaya tempatan, Terengganu terus diposisikan sebagai destinasi pelancongan lengkap yang menggabungkan elemen alam, budaya dan gaya hidup. - DagangNews.com