Signature International miliki buku tempahan RM1.2 bilion, margin meningkat kepada 14.3% pada 1QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Signature International miliki buku tempahan RM1.2 bilion, margin meningkat kepada 14.3% pada 1QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Signature International Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan prospek pendapatan yang kukuh apabila mencatatkan buku tempahan belum dibil berjumlah RM1.235 bilion setakat 31 Mac 2026.

 

Jumlah tempahan itu memberi keterlihatan pendapatan jangka sederhana yang jelas kepada kumpulan, merangkumi segmen dapur, kabinet pakaian serta kerja-kerja hiasan dalaman.

 

Daripada jumlah tersebut, jenama Corten yang beroperasi di Singapura kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM811 juta atau 65.5 peratus daripada keseluruhan buku tempahan kumpulan.

 

Sementara itu, RM326 juta disumbangkan oleh jenama Signature di Malaysia, manakala RM98 juta lagi datang daripada bahagian hiasan dalaman.

 

Prestasi ini turut mencerminkan permintaan berterusan dalam sektor perumahan serantau, khususnya di Singapura yang terus menjadi pasaran utama kumpulan.

 

Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026), Signature mencatatkan hasil sebanyak RM211.8 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM28.6 juta.

 

Walaupun hasil dipengaruhi oleh jadual pelaksanaan projek, kumpulan itu berjaya mencatatkan peningkatan margin operasi kepada 14.3 peratus berbanding 11.9 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan margin itu disokong oleh campuran produk yang lebih menguntungkan serta kecekapan pelaksanaan projek di bawah jenama utama kumpulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lau Kock Sang berkata syarikat memasuki FY2026 dengan platform operasi yang lebih fokus dan berdisiplin dalam pelaksanaan projek.

 

Menurut beliau, keutamaan utama kumpulan adalah memastikan setiap projek disiapkan tepat pada masa sambil mengekalkan margin keuntungan dan mengawal kos operasi.

 

t

 

Beliau turut menjelaskan Signature kini beroperasi sebagai platform bersepadu “home and living” yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai, termasuk pengeluaran produk, bilik pameran, bekalan projek serta kerja-kerja pemasangan dalaman bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kawalan kualiti.

 

Dari sudut makro, prestasi kumpulan turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 5.2 peratus pada 2025 dan 5.4 peratus pada suku pertama 2026.

 

Dalam masa yang sama, jumlah rumah yang siap dibina di Malaysia meningkat lebih 30 peratus kepada 12,905 unit pada suku pertama 2026 yang mendorong permintaan terhadap perabot pasang siap menjadi lebih tinggi.

 

Di Singapura, prospek perniagaan kekal stabil berikutan kesinambungan program perumahan kerajaan yang melibatkan sekitar 19,600 unit rumah baharu pada tahun 2026, sekali gus menyokong permintaan berterusan terhadap kerja-kerja pemasangan dan kelengkapan dalaman.

 

Signature juga berada di bawah kumpulan besar Chin Hin Group Berhad, yang memberikan sinergi dalam ekosistem bahan binaan, pembinaan dan pembangunan hartanah.

 

Bagi mengurangkan tekanan kos bahan mentah dan risiko kadar pertukaran mata wang, kumpulan mempercepatkan automasi kilang serta penggunaan analitik data masa nyata dalam operasi pengeluaran.

 

Secara keseluruhan, FY2026 dilihat sebagai tahun pelaksanaan berdisiplin bagi Signature, dengan fokus utama menukar buku tempahan besar kepada pendapatan dan keuntungan yang mampan. - DagangNews.com