Untung bersih PGF Capital susut 24% kepada RM26 juta bagi FY26 disebabkan penurunan nilai inventori | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih PGF Capital susut 24% kepada RM26 juta bagi FY26 disebabkan penurunan nilai inventori

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 JunPGF Capital Berhad mencatatkan penyusutan kira-kira 23.6% keuntungan bersih kepada sebanyak RM25.93 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 28 Februari 2026 (FY26).

 

Walaupun angka ini menunjukkan penurunan berbanding RM33.94 juta pada tahun sebelumnya, kumpulan tersebut menjelaskan prestasi itu dipengaruhi oleh penurunan nilai inventori sebanyak RM1.0 juta.

 

Selain itu tambahnya, keuntungan tahun sebelumnya (FY25) adalah lebih tinggi disebabkan oleh item bukan berulang, iaitu pembalikan kerugian kemerosotan nilai tanah dan kerugian secara tidak nyata.

 

"Syarikat namun berjaya mencatatkan pendapatan yang tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM168 juta, naik 8.4% daripada RM155.0 juta pada tahun sebelumnya," maklum PGF Capital kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan tersebut yang disenaraikan di Pasaran Utama turut menyatakan yang segmen pembuatan penebat adalah kekal sebagai pemacu utama hasil dengan menyumbang RM167.3 juta kepada jumlah perolehan.

 

Secara terlaras tanpa diambil kira item bukan berulang, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan sebenarnya menunjukkan peningkatan kukuh 34.3% kepada RM36.8 juta berbanding RM27.4 juta pada FY25.

 

PGF Capital_DagangNews2026

 

Pertumbuhan ini didorong permintaan yang luar biasa dari pasaran Australia dan New Zealand, dengan menyumbang kira-kira 84.5% atau RM141.3 juta kepada pendapatan segmen penebat keluaran PGF Capital.

 

"Langkah strategik pengukuhan rangkaian gudang di bandar-bandar utama Australia serta pemilikan armada penghantaran sendiri turut meningkatkan capaian pasaran dan kepercayaan pelanggan," katanya.

 

Bagi menampung permintaan yang kian meningkat, ia kini dalam proses membina kemudahan pembuatan baharu di Kulim, Kedah yang apabila siap kelak dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan.

 

PGF Capital menjangka lonjakan kepada 65,000 tan berbanding 25,000 tan ketika ini, manakala segmen pembangunan hartanah syarikat berkenaan pula masih sedang menunggu kelulusan pelan infrastruktur.

 

Sekiranya selesai, syarikat akan melancarkan Fasa 1 projek perumahan di Diamond Creeks Country Resort, Tanjong Malim, Perak yang terletak bersebelahan dengan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

 

"Sebagai penghargaan atas sokongan pelabur, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 3.5 sen sesaham bagi FY2026, yang melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM6.8 juta," tambahnya.

 

Kadar tersebut turut selaras dengan polisi PGF Capital sendiri untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham. - DagangNews.com