Spekulasi PRU16 lebih awal pada 4Q26 mampu lonjak jualan 99 Speed Mart, HLIB kekal saran 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Spekulasi PRU16 lebih awal pada 4Q26 mampu lonjak jualan 99 Speed Mart, HLIB kekal saran 'beli'

Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Jun — Spekulasi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) mungkin diadakan lebih awal daripada tempoh mandat dijangka menjadi pemangkin baharu bagi 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpandangan syarikat itu berada pada kedudukan terbaik jika banyak langkah mesra rakyat bagi menangani kos sara hidup diperkenalkan kerajaan menjelang pilihan raya.

 

Menurutnya, sekiranya PRU16 diadakan seawal suku keempat 2026, kerajaan berkemungkinan besar melaksanakan pelbagai inisiatif kepada ramai pengguna seperti program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

 

"Ini dijangka meningkatkan perbelanjaan ke atas produk keperluan harian dan limpahan positif kepada 99 Speed Mart menerusi rangkaian cawangannya luas di seluruh negara," kata firma penyelidikan itu.

 

Tambah HLIB, prestasi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) syarikat itu membuktikan daya tahan kukuh disokong pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG), dan peningkatan jumlah transaksi serta margin.

 

Bagi suku itu, ia merekodkan hasil RM3.1 bilion, meningkat 17.5% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih naik 33.6% kepada RM188.4 juta susulan pertambahan rangkaian kedainya.

 

99 Speed Mart_DagangNews2026

 

Prestasi 99 Speed Mart itu turut disokong pertumbuhan SSSG kepada 11.1% berbanding 1.7% pada suku sama tahun sebelumnya, selain transaksi naik 18% kepada 141.1 juta daripada 119.6 juta sebelumnya.

 

"Kumpulan ini sudah membuka 48 cawangan di Malaysia dan sebuah di China, dengan tumpuan diberikan kepada wilayah utara dan selatan negara bagi menembusi pasaran yang masih kurang padat," kata HLIB.

 

Syarikat itu turut mengekalkan sasaran membuka 250 cawangan sepanjang tahun kewangan 2026, selari strategi perluasan rangkaian secara konsisten yang dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

 

Perkembangan positif itu memandangkan 99 Speed Mart kini memiliki 3,089 cawangan di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rangkaian kedai serbaneka paling besar di Malaysia.

 

Pada masa sama ujar HLIB, inisiatif kecekapan operasi menerusi pemasangan panel solar di premis peruncitan dan pusat pengedaran mula berhasil apabila margin keuntungan naik 1.1 mata peratusan.

 

99 Speed Mart_DagangNews2026

 

"Kami berpandangan, jika kerajaan memperkenalkan semula atau memperluaskan program bantuan seperti SARA menjelang PRU16, kumpulan ini berpotensi menjadi antara penerima manfaat terbesar," tambahnya.

 

Keadaan itu disebabkan sebahagian besar produk dijual 99 Speed Mart layak di bawah skim berkenaan, dengan senario sama pernah menyumbang pertumbuhan pada separuh kedua 2025 dan suku pertama 2026.

 

HLIB turut menegaskan walaupun ketegangan di Timur Tengah masih menjadi faktor risiko ekonomi global, kumpulan itu tidak menyatakan sebarang kebimbangan terhadap operasi semasa dan kekal yakin.

 

Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) RM4.24 sesaham yang berdasarkan kepada penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF).

 

"Penilaian ini disokong prospek pertumbuhan pendapatan yang mampan, pembukaan cawangan baharu, peningkatan kecekapan operasi serta kedudukan kukuh dalam pasaran peruncitan," katanya. - DagangNews.com