KUALA LUMPUR 30 Jun - SEDC Energy Sdn Bhd (SEDCE) sedang membangunkan 40 lagi tapak yang dikenal pasti di seluruh Sarawak, yang kini berada pada pelbagai peringkat perancangan dan pembangunan, dalam usaha meneruskan pengembangan rangkaian Stesen Pelbagai Bahan Api Petros (MFS) di seluruh negeri.
Setakat ini SEDCE telah menyiapkan 12 Petros MFS di seluruh Sarawak iaitu MFS Darul Hana (Jalan Tun Salahuddin), MFS Batu Kawa (Jalan Batu Kawa), MFS Daro (Jalan Matu-Daro), MFS Kanowit Central (Jalan Kubu), MFS Sungai Asap (Jalan Bintulu-Bakun), MFS Jepak (Kampung Jepak), MFS Kuala Matu (Jalan Daro-Kuala Matu), MFS Persiaran Brooke (Brooke Drive, Sibu), MFS Kapit (Jalan Bleteh), MFS Tatau (Pan Borneo, Tatau), MFS Selangau (Pan Borneo, Selangau) dan MFS Bukit Aup (Jalan Quarry, Sibu).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Hardin berkata, SEDCE membangunkan perniagaan runcit petroleum hiliran menerusi jenama Petros MFS.
"Selain MFS, SEDCE juga telah menyiapkan 17 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di 10 lokasi di seluruh negeri.
"Satu lagi tambahan sebanyak 25 lokasi yang melibatkan 45 pengecas turut dikenal pasti dan kini berada pada beberapa peringkat kelulusan," katanya, menurut laporan The Borneo Post di Petros MFS Darul Hana pada Isnin.
Robert berkata, Petros MFS utama ketiga yang terletak di Jalan Sultan Iskandar, Bintulu dijangka siap menjelang suku kedua tahun ini.
Stesen utama rangkum hidrogen, EV dan bahan api konvensional
Beliau berkata, stesen utama itu direka bukan sahaja untuk menyediakan bahan api konvensional dan kemudahan pengecasan EV, malah turut menawarkan kemudahan pengisian hidrogen.
Manakala stesen bukan utama di lokasi strategik di seluruh Sarawak dilengkapi dengan kemudahan pengecasan EV selain bahan api konvensional.
"Tiga lagi Petros MFS utama yang terletak di Sri Aman, Miri dan Sibu telah dikenal pasti dan akan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.
Tambah beliau, stesen utama itu akan menjadi tulang belakang kepada rangkaian pengisian semula hidrogen Sarawak di pusat-pusat bandar utama, manakala Petros MFS standard akan terus menyediakan bahan api konvensional bersama kemudahan pengecasan EV. - DagangNews.com








