Mahkamah Tinggi benarkan permohonan SC merampas sebuah unit kondominium dan duit lebih RM445,000 daripada Ricky Wong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Tinggi benarkan permohonan SC merampas sebuah unit kondominium dan duit lebih RM445,000 daripada Ricky Wong

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Mahkamah Tinggi pada Rabu membenarkan permohonan pendakwa raya terhadap Havana Bayview Sdn Bhd dan Wong Shee Kai (Ricky Wong)  bagi merampas sebuah unit kondominium mewah di Four Seasons Place dan duit lebih RM445,000 daripada akaun bank Ricky Wong

 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)  memfailkan permohonan tersebut bagi pihak pendakwa raya

 

Hartanah di No. 145 Jalan Ampang, Kuala Lumpur dimiliki oleh Havana Bayview, di mana Ricky Wong adalah Pengarah dan Pemegang Saham Utama.

 

 

SC berkata, permohonan tersebut adalah berkaitan dengan hasil Bright Packaging Industry Bhd (BPI) melalui latihan korporatnya yang dijalankan antara Oktober 2013 hingga Julai 2014.

 

"Siasatan SC mendedahkan bahawa hasil lebih RM56 juta telah disalurkan daripada BPI dan sebahagian daripadanya digunakan sebagai sebahagian bayaran untuk pembelian kondominium itu.

 

"Kami mendapati Jjumlah kira-kira RM445,000 adalah faedah yang dijana daripada sebahagian daripada hasil yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap Ricky Wong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehubungan itu, SC pada Mei 2021 telah memulakan permohonan, menurut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, setelah mendapat persetujuan pendakwa raya.

 

Perkara itu telah didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid pada 2 September 2024.

 

"Menurut keputusan semalam, hakim memberi perintah untuk merampas kedua-dua kondominium dan wang tunai itu. 

 

"Beliau seterusnya membenarkan Ricky Wong dan Havana Bayview menangguhkan sementara keputusan mahkamah untuk perampasan kondominium dan wang itu.

 

"Kelewatan ini akan berlarutan sehingga mereka boleh secara rasmi meminta penangguhan yang lebih lama," katanya.

 

Sementara itu, SC telah memulakan tindakan penguatkuasaan lain terhadap Ricky Wong. 

 

Ini termasuk saman sivil pada Mei 2020 terhadap Ricky Wong, Teh Sew Wan dan Wong SK Holdings Sdn Bhd atas kesalahan penipuan sekuriti di bawah seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

SC juga sedang mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengesan Ricky Wong, yang kini dikehendaki berhubung kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - DagangNews.com